Dr Ibrahim Ali
Dr Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Kemenangan besar calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Noor bererti isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC International dan kleptokrasi kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sudah berakhir.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Dr IbrahiM Ali berkata, kemenangan itu membuktikan rakyat sudah jemu dan bosan dengan pembohongan Pakatan Harapan (PH), yang nyata gagal menunaikan janji manifesto dan janji 100 hari jika menang PRU14.

Katanya, amat jelas dan tegas orang Melayu menolak DAP yang membawa dasar Malaysian Malaysia iaitu dasar keseramarataan yang kini menjadi slogan Malaysia Baharu.

Beliau berkata, rakyat juga menolak pelbagai kenyataan propaganda oleh pemimpin PH sebelum PRU 14, kononnya negara akan bankrap jika tidak tukar kerajaan.

“Rakyat juga sudah benci sikap angkuh menteri mereka dengan lagak sombong dan egonya yang melampau, sedangkan kerja dan tugas bercelaru.

“Orang Melayu menolak PH bulat-bulat kerana melihat pelbagai angkara yang tidak menyenangkan seperti penghinaan terhadap Islam dan Raja-Raja Melayu tanpa ada tindakan tegas dari kerajaan.

“Kenyataan celupar segelintir Melayu liberal, peranan Siti Kasim dan S. Ambiga yang menyokong PH menjadikan orang Melayu naik cuak dan muntah,” katanya dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette di sini, hari ini.

Menurut Dr. Ibrahim, gelagat pemimpin Melayu dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Parti Amanah Negara (PAN) dan PKR juga menyebabkan orang Melayu marah.

Kata beliau, adakala pemimpin Melayu PH mempersendakan maruah bangsa sendiri dan agama Islam hanya kerana mahu mendapat undi dari kalangan orang Cina dan India sehingga sanggup melakukan apa sahaja.

“Malah ada bersikap tidak beradab, kasar dan kurang ajar. Contoh, seorang anggota Exco dari Melaka dan seorang Timbalan Menteri yang berkempen pada PRK Cameron Highlands baru-baru ini.

“Rakyat juga terkejut seperti berita anak Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu ditangkap positif dadah, sedangkan bapanya bercakap berdegar-degar dan sering mencemuh pihak lawan, tapi pada masa sama gagal mendidik anak sendiri.

“Rakyat turut bosan dan meluap melihat pemimpin PH yang cakap tidak serupa bikin, iaitu sebelum PRU14 tuduh UMNO dan BN menyalahgunakan kuasa seperti mengunakan kemudahan kerajaan,” katanya.

Tetapi, jelas beliau, ketika PRK Cameron Highlands, pemimpin PH sendiri melakukan perkara sama, manakala BERSIH pula menjadi alat propaganda PH.

Dr Ibrahim berkata, gembar-gembur Ahli Parlimen dari UMNO melompat  menguntungkan parti itu sebagai aneh dan pelik, tetapi benar.

“Apatah lagi dicop pula lompat beruk. Ini juga rakyat jijik terutama yang mendapat banyak faedah dari UMNO seperti pangkat, projek dan jawatan  menteri.

“Ianya rahmat yang tidak terduga kepada UMNO kerana rakyat boleh kenal antara permata dan kaca.

“Kempen PH di PRK Cameron Highlands juga diburukkan lagi dengan kehadiran (Datuk Seri) Mustapha Mohamad yang bukan sahaja membantu mengurangkan undi PH, tetapi menambahkan lagi rasa jelik orang ramai kepada PH,” katanya.

Beliau menyatakan, apa yang diperkatanya itu adalah antara bualan rakyat di warung kopi, termasuk ke kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kasim dalam insiden rusuhan kuil di Subang Jaya bulan lalu.

Jelas beliau, siasatan yang tertangguh itu menyebabkan orang Melayu terlalu kecewa kerana sampai sekarang yang dituduh hilang dan tidak ditangkap bahkan diadakan inkues pula.

“Sepatutnya suspek dimasukkan dalam lokap atau penjara tanpa diikat jami. Tetapi sekarang kena tunggu inkues pula yang belum pasti apa kesudahannya,” katanya.

Beliau turut berkata. tugas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sudah berakhir kerana matlamatnya hendak singkirkan Najib sudah tercapai dan selesai.

“Apakah dia tergamak menyerah kuasa politik kepada DAP yang kelingking berkait? Malangnya, nasi sudah menjadi bubur,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.