KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyambut baik cadangan Ahli Parlimen, Tengku Razaleigh Hamzah supaya kerajaan menubuhkan Mahkamah Perlembagaan.
Bagaimanapun, Ketua Penerangannya, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, mahkamah itu tidak perlu diasingkan, sebaliknya diletakkan bawah sistem kehakiman sedia ada.
“Cuma dikhususkan untuk membincangkan hak dan undang-undang berkaitan Perlembagaan Persekutuan.
“Dalam negara yang mengamalkan Perlembagaan bertulis, mahkamah adalah badan bebas berperanan besar untuk menjaga dan memelihara Perlembagaan,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Semalam, Tengku Razaleigh dalam satu program temubual mencadangkan kerajaan meminda perlembagaan supaya Mahkamah Perlembagaan dapat ditubuhkan bagi membicarakan isu berkaitan hak dan undang-undang dalam Perlembagaan Persekutuan.
Namun cadangan itu mendapat reaksi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong yang menyatakan, tiada keperluan untuk mewujudkan Mahkamah Perlembagaan di negara ini memandangkan Mahkamah Persekutuan boleh mengendalikan isu membabitkan perlembagaan negara.
Beliau berkata, Mahkamah Persekutuan adalah mahkamah tertinggi yang dianggotai tujuh hakim yang mengendalikan isu membabitkan perlembagaan sekiranya ada.
Menurut Nasrul Ali Hasan, cadangan pemimpin veteran UMNO itu sangat jelas tujuannya, iaitu untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang kini kerap dipolemikkan.
Katanya, ketika ini hal berkaitan Perlembagaan Persekutuan dibincangkan secara terbuka di saluran media sosial terutama laungan reformasi yang jelas mahu merubah dan meminda banyak perkara yang menyentuh asas Perlembagaan.
“Kebanyakan yang dibincang oleh golongan muda hari ini lebih kepada pandangan tanpa fakta dan kefahaman yang baik.
“Seterusnya mereka dengan lantang mempersoal dan mempertikai perkara yang seharusnya tidak boleh dipertikai dan bertegas mahu kerajaan meminda perkara tersebut seperti kedudukan Islam sebagai agama rasmi persekutuan dan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak.
“Ini akan memberi impak negatif dalam pembangunan negara masa hadapan jika anak muda kini berterusan tidak memahami teras persetujuan Perlembagaan Persekutuan ditandatangani,” katanya.
Beliau berkata, sudah banyak isu berkaitan perlembagaan telah dicabul pihak tertentu seperti hak sama rata beragama dan penafian Islam sebagai agama Persekutuan.
Katanya, ada juga pihak tertentu menyalurkan dana kerajaan kepada kolej swasta (Kolej Universiti New Era), mengabai dan meminggirkan penggunaan bahasa Kebangsaan secara perlahan.
“Mereka juga mencabar hak keistimewaan orang Melayu seperti biasiswa pendidikan, jawatan dalam kerajaan dan bantuan ekonomi yang memberi ruang kepada orang Melayu untuk menempatkan diri dalam bidang perusahaan.
“Dengan penubuhan Mahkamah Perlembagaan ini, dapat membantu mengekalkan keharmonian negara, di samping meningkatkan kefahaman dan sensitiviti antara rakyat Malaysia.
“Mereka akan menghormati perkara berteraskan kontrak sosial yang termaktub sejak dahulu lagi dan segala perihal menyentuh sensitiviti Perlembagaan Persekutuan harus didakwa sekiranya menimbulkan ketegangan antara warganegaranya,” katanya.
Jelas beliau, mantera yang digunakan DAP iaitu prinsip Malaysian Malaysia jelas melanggar undang-undang berikutan menyentuh beberapa perkara keistimewaan kepada Bumiputera dan Islam yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan.
Hasrat itu, ujarnya, dilihat lebih bermotifkan kepentingan politik dengan alasan kononnya menolak dasar serta amalan yang hanya mengutamakan sesuatu kaum atau agama.
Justeru, kata beliau, Perkasa menyokong penuh cadangan itu demi mengekalkan kestabilan dan keamanan negara daripada polemik berkenaan.
“Dengan adanya Mahkamah Perlembagaan ini juga dapat memelihara dan memastikan kerukunan hidup bersama pelbagai kaum dapat dinikmati,” katanya. – MalaysiaGazette