Mahathir Mohamad
Reaksi Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika hadir pada sesi sidang media selepas Program Pengurusan Tertinggi Badan Berkanun Persekutuan (BBP) bertemakan 'BBP Wibawa Pemacu Malaysia Baharu' di Perbadanan Putrajaya, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 28 JANUARI 2019

PUTRAJAYA – Perdana Menteri tidak kesal apabila Malaysia dilucutkan hak penganjuran Kejohanan Renang Para Dunia 2019 yang akan diadakan di Kuching pada 29 Julai hingga 4 Ogos ini.

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sekalipun keputusan telah dibuat oleh Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) namun Malaysia tidak berganjak dengan pendiriannya sebelum ini melarang rakyat Israel memasuki negara ini kerana negara itu merupakan penjenayah antarabangsa. 

“Kita tetap dengan prinsip kita. Prinsip kita Israel penjenayah, mereka langgar undang-undang antarabangsa tanpa orang lain kata apa apa. Hak kita adalah untuk suarakan polisi kita. 

“Amerika Syarikat juga tak benarkan rakyat dari lima negara Islam pergi ke negara mereka, kenapa orang tak merungut? Banyak negara Eropah tidak bagi orang luar datang ke negara mereka.

“Kita ada sebab, mereka (atlet Israel) bukan pelarian, bukan orang susah, mereka datang dari negara yang langgar peraturan antarabangsa,” katanya, kepada pemberita di Putrajaya, hari ini.

Tambahnya, beliau tidak faham apabila wujud negara lain yang tunduk terhadap Israel. 

“Dia (IPC) nak batal batallah. Saya dapati dunia terpaksa ikut Israel, saya tak fahamlah pasal dunia ada kuasa. Kita tak ikut, (kalau) kita tak boleh anjur Sukan Olimpik kita anjur sukan lain,” ujarnya yang ditemui selepas program eksekutif pengurusan tertinggi badan berkanun Persekutuan di Perbadanan Putrajaya. 

Semalam, Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) menggugurkan kelayakan Malaysia sebagai penganjur Kejohanan Renang Paralimpik 2019 yang akan berlangsung Julai depan di Sarawak.

Tindakan dibuat selepas Putrajaya melarang masuk atlet Israel menyertai pertandingan di negara ini.

IPC berkata, ketika menandatangani kontrak dengan Majlis Paralimpik Malaysia pada 2017, pihaknya diberi jaminan semua atlet dari semua negara dibenarkan menyertai pertandingan itu.-MalaysiaGazette