Dr. Asyraf Wajdi Dusuki
Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mempersoalkan tindakan kerajaan yang meletakkan pemimpin DAP untuk menerajui sebuah institusi dakwah Islam di negara ini.

Asyraf Wajdi berkata, DAP yang terkenal sebagai parti yang konsisten tidak mengiktiraf Islam sebagai agama Persekutuan tidak sewajarnya diberi tanggungjawab dalam badan dakwah berkenaan.

“Apa tujuan Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP sebagai ahli lembaga pemegang amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

“Malah (DAP) konsisten sejak penubuhannya sehingga kini mahu menjadikan Malaysia sebuah negara sekular.

“Nampaknya satu persatu institusi Islam mula diusik dan dirobek oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang didominasi DAP kini,” katanya yang dimuat naik di akaun Facebooknya, hari ini.

Beliau mengulas pelantikan ADUN Paloh, Johor Sheikh Omar Ali sebagai anggota lembaga pemegang amanah Yadim untuk tempoh dua tahun dan watikah pelantikannya akan disampaikan oleh menteri agama Mujahid Yusof di Putrajaya esok.

Sheikh Omar, yang juga Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi, Penerangan dan Ekonomi Kreatif Johor, mendapat pendidikan peringkat ijazah dalam bidang Usuluddin di Universiti Malaya (UM) dengan pengkhususan dalam dakwah.

Asyraf Wajdi berkata lagi, Yadim sewajarnya kekal sebagai badan dakwah yang bebas daripada pengaruh mana-mana parti politik.

“YADIM seharusnya kekal sebagai badan dakwah ulung melangkaui parti politik berperanan melebarkan kefahaman Islam dan menyebarkan dakwah Islamiah dan Islahiah dalam kalangan rakyat sejak penubuhannya 1974,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast