KOTA BHARU – Mufti Kelantan Datuk Mohamed Shukri mengingatkan masyarakat negeri ini agar tidak terlalu taksub dengan kejadian aneh seperti pokok boleh merembas air kerana dibimbangi boleh terjerumus kepada syirik.
Shukri berkata apabila terlalu taksub sehingga percaya kejadian aneh mampu mendatangkan kebaikan atau menolak keburukan boleh dianggap syirik kecil atau syirik tersembunyi.
Katanya, mempercayai perkara yang aneh juga boleh merosakan akidah umat Islam.
“Jangan sedikitpun meletakan kepercayaan atau iktikad air yang keluar dari tempat tidak sepatutnya boleh memberi kesan atau menghasilkan musabab kerana semuanya bergantung kepada kuasa Allah,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kejadian sebatang pokok petai ‘menangis’ di Kampung Petani, Saring sejak seminggu lepas.
Kejadian itu dikatakan mengundang perhatian ramai sehingga ada yang menadah air dengan baldi untuk diminum atau membasuh muka kerana dipercayai boleh menjadi ubat.
Mohamed berkata masyarakat juga sepatutnya mengambil iktibar dari pengalaman lepas kerana kejadian seumpama itu bukan pertama kali berlaku di negeri ini.
“Kejadian sebegini pernah berlaku di Kampung Bunut Susu, Pasir Mas beberapa tahun sebelum ini. Masyarakat sepatutnya menjadikannya sebagai iktibar dan tidak mudah mempercayai sesuatu tanpa usul periksa,” katanya.
Lebih serius lagi, air yang dikatakan keluar dari pokok petai itu juga belum dipastikan kandungan atau kebersihannya dan mungkin boleh mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan jika diminum, katanya.
— BERNAMA