PPIM
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan

KUALA LUMPURĀ – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyifatkan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) sebagai pengecut susulan pembatalan hak Malaysia sebagai tuan rumah Kejohanan Renang Para Dunia 2019.

Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, rakyat Malaysia perlu bersatu hati tanpa mengira pegangan politik, bangsa dan agama untuk membantah tindakan tersebut.

“Ini bukan soal kita rasis, anti-yahudi atau anti-semitik, tetapi Malaysia berpegang teguh mengutuk segala perbuatan zalim Israel terhadap penduduk Palestine,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, IPC memutus untuk melucutkan hak penganjuran Malaysia sebagai tuan rumah Kejohanan Renang Para Dunia 2019 yang bakal dianjurkan di Kuching, Sarawak 29 Julai hingga 4 Ogos ini.

Presiden IPC, Andrew Parsons berkata, perkara tersebut diputuskan oleh jawatankuasa itu semasa bermesyuarat di London.

Nadzim juga menyokong tindakan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang tegas dengan pendiriannya untuk menghalang perenang dari Israel untuk memasuki negara ini.

“PPIM sependapat dengan Tun Mahathir, Israel sebuah negara penjenayah yang wajar dikecam.

“Tindakan menghalang dua atlet negara zionis itu telah menunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia tidak tunduk kepada tekanan kuasa besar.

“Kita tidak akan berdiam diri apabila negara lain seolah-olah membiarkan sahaja Israel melakukan sesuka hati mereka tanpa menghiraukan undang-undang dunia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast