pengintip
Gambar hiasan

WANSHINGTON- Dua minggu selepas meninggalkan jawatan sebagai penganalisis perisikan untuk Agensi Keselamatan Awam Amerika Syarikat (NSA) pada tahun 2014, Lori Stroud berada di Timur Tengah bekerja sebagai penggodam untuk monarki Arab.

Beliau telah menyertai Project Raven, sebuah pasukan rahsia yang merangkumi lebih daripada puluhan perisik Amerika Syarikat (AS) yang diambil untuk membantu Emiriyah Arab Bersatu (UAE) terlibat dalam pengawasan kerajaan lain, militan dan aktivis hak asasi manusia yang kritis terhadap monarki.

Stroud dan pasukannya, bekerja dari sebuah rumah di Abu Dhabi yang dikenali secara dalaman sebagai ‘villa’ akan menggunakan kaedah yang dipelajari selama satu dekad dalam komuniti perisikan AS untuk membantu UAE menggodam telefon dan komputer musuhnya.

Stroud direkrut oleh kontraktor keselamatan siber Maryland untuk membantu UAE melancarkan operasi penggodaman dan selama tiga tahun, dia berkembang maju dalam tugasnya.

Tetapi pada tahun 2016, UAE memindahkan Projek Raven ke sebuah firma keselamatan siber milik negara itu sendiri, DarkMatter.

“Saya bekerja dengan sebuah agensi perisikan asing yang mensasarkan rakyat AS.

“Secara rasminya, saya adalah seorang perisik yang jahat,” katanya kepada Reuters.

Kisah Projek Raven mendedahkan bagaimana bekas-bekas penggodam yang pernah bekerja dengan kerajaan AS diupah dan menggunakan peralatan pengintipan terhebat oleh agensi perisikan asing untuk mengintip aktivis-aktivis hak asasi, wartawan dan musuh politik.

Temubual dengan sembilan bekas pengintip Raven serta semakan terhadap ribuan muka surat dokumen dan emel projek berkenaan menunjukkan teknik pengawasan yang diajar oleh NSA adalah pusat kepada usaha UAE untuk memantau pesaing-pesaingnya.

Sumber-sumber yang ditemubual oleh Reuters adalah bukan rakyat UAE.

Para pengintip menggunakan sepenuhnya peralatan siber termasuk platform terkini pengintipan yang dinamakan Karma yang mana menurut mereka, ia digunakan untuk menggodam ratusan iPhone aktivis, pemimpin politik dan suspek pengganas.

Seorang jurucakap NSA, Apple dan Kementerian Luar UAE bagaimanapun enggan untuk memberi komen manakala jurucakap Kedutaan UAE di Washington serta jurucakap Majlis Media Kebangsaan tidak memberi maklum balas.

Tidak lama kemudian, Stroud dan orang AS yang terlibat dalam usaha mengatakan bahawa mereka menyaksikan misi “menyeberangi garis merah” iaitu menyasarkan rakan-rakan AS untuk diawasi.

UAE sebelum ini pernah berkata, ia menghadapi ancaman sebenar daripada kumpulan-kumpulan ekstremis dan bekerjasama dengan AS untuk menghalang keganasan.

Menurut bekas-bekas pengintip Raven, projek tersebut membantu NSA memecah-belahkan rangkaian ISIS di dalam UAE.

Apabila seorang militan yang terinspirasi daripada ISIS ditikam sehingga mati pada tahun 2014, Raven menggiatkan usaha untuk menilai sama ada terdapat serangan lain yang akan berlaku.

Kisah Raven itu  turut memberikan perspektif baharu terhadap peranan bekas pengintip AS di dalam menggodam operasi negara lain.

Dalam komuniti perisikan, meninggalkan kerja sebagai pengintip dan menyertai negara lain dianggap sebagai pengkhianat.

“Terdapat tanggungjawab moral apabila anda adalah bekas pegawai perisikan kemudian bertukar menjadi pekerja upahan untuk kerajaan asing,” kata Bob Anderson yang berkhidmat sebagai Penolong Pengarah Eksekutif, Biro Siasatan Persekutuan sehingga tahun 2015.

Apabila aktiviti ini menimbulkan dilema etika, peguam-peguam keselamatan kebangsaan AS berkata, undang-undang yang digariskan kepada perisik AS untuk mengambil upah di luar negara adalah kabur.

Walaupun perkongsian maklumat rahsia adalah haram namun tiada undang-undang khusus yang menghalang para perisik tersebut untuk menjadi kontraktor dan berkongsi ilmu perisikan secara umum contohnya bagaimana mahu memancing sasaran dengan menggunakan emel yang penuh dengan virus.

Peraturan tersebut bagaimanapun jelas apabila melibatkan aktiviti menggodam rangkaian AS atau mencuri komunikasi rakyat AS.

“Ia adalah sangat haram,” kata bekas Timbalan Penolong Pengarah NSA (Dasar), Rhea Siers.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast