KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa jangan ingat umat Islam gentar dengan amarannya supaya tidak mempertikaikan urusan beliau melantik wakil DAP sebagai Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).
Sebaliknya, Pas memberi amaran kepadannya supaya tidak berterusan memberi laluan campur tangan DAP dalam urusan Islam.
Menurut Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim, Mujahid harus ingat pada sidang Parlimen lalu, ada Ahli Parlimen dari DAP mendesak kerajaan memberi kebebasan kepada penganut syiah menjalankan aktiviti mereka.
Katanya, seorang Ahli Parlimen DAP paling kanan dan memegang jawatan Menteri pernah dilaporkan dalam satu prosiding mahkamah sebagai tidak bersetuju kedudukan Islam sebagai agama persekutuan seperti terkandung dalam Perlembagaan Malaysia.
“DAP berterusan cuba menghalang usaha memperkasakan institusi mahkamah syariah dengan pelbagai alasan, dan Dr Mujahid harus sedar ancaman itu,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Naib Yang Dipertua Pas Kuala Terengganu itu mengulas tindakan Menteri itu melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh dari DAP, Sheikh Omar Ali sebagai salah seorang anggota Lembaga Pemegang Amanah Yadim.
Pelantikan wakil DAP itu menjadikan 10 daripada 12 orang Lembaga Pengarah Yadim adalah dari parti komponen Pakatan Harapan (PH), manakala dua lagi mewakili Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
Menurut Ahmad Amzad, Mujahid kena ingat 63 peratus rakyat Malaysia adalah umat Islam yang ada had kesabarannya dan tidak teragak-agak mempertahankan Islam jika terus diganggu.
“Ingat, amaran Allah mengatasi amaran beliau,” tegasnya. – MalaysiaGazette
PAS tak perlu hairan dan tak perlu gah dgn Islam yg di bawa, kerana PH pun blh menguruskan Islam cara mereka.