spy
Gambar hiasan

ABU DHABI – Sepasukan bekas perisik kerajaan Amerika Syarikat yang diupah oleh Emiriyah Arab Bersatu (UAE) menggodam iPhones milik aktivis, diplomat dan ketua-ketua negara asing dengan menggunakan sebuah peralatan pengintipan paling canggih yang digelar Karma.

Peralatan siber itu membolehkan sebuah negara kecil di Teluk memantau ratusan sasarannya daripada Emir Qatar dan pegawai kanan Turki sehinggalah kepada penerima Anugerah Nobel Keamanan iaitu seorang aktivis hak asasi di Yaman sejak 2016.

Perkara itu didedahkan oleh lima orang perisik yang pernah berada di dalam kumpulan yang digelarkan Projek Raven kepada Reuters.

Menurut bekas perisik Raven, Karma adalah sejenis peralatan yang boleh memberikan akses kepada iPhone melalui kawalan jauh dengan hanya memuatnaik nombor telefon atau alamat emel kepada sistem sasaran automatik.

Sistem tersebut bagaimanapun mempunyai kelemahan iaitu ia tidak boleh digunakan kepada peralatan Android dan ia tidak boleh memintas panggilan telefon.

Bagaimanapun, ia mempunyai kelebihan tersendiri iaitu Karma tidak memerlukan sasaran untuk membuka link yang dihantar kepada iPhone berkenaan.

Pada 2016 dan 2017, Karma digunakan untuk mendapatkan gambar, emel, mesej dan maklumat lokasi daripada iPhone sasaran.

Teknik itu juga membantu penggodam untuk mendapatkan kata laluan yang telah disimpan yang mana ia boleh digunakan untuk aktiviti pencerobohan yang lain pula.

Bagaimanapun, masih belum jelas sama ada aktiviti menggodam menggunakan Karma masih digunakan.

Menurut bekas-bekas perisik tersebut, pada akhir 2019, penaiktarafan keselamatan perisian iPhone oleh Apple Inc telah menyebabkan Karma kurang bekesan.

Peralatan seperti Karma yang boleh menggodam ratusan iPhone pada satu-satu masa adalah sesuatu yang sangat dicari-cari.

Menurut veteran perang siber, hanya 10 negara seperti Rusia, China, AS dan sekutu-sekutu rapatnya sahaja yang mampu membangunkan senjata seperti itu. Bekas perisik Raven berkata, Karma membolehkan mereka mendapatkan maklumat mengenai sasaran di samping memberikan akses kepada perkara-perkara yang boleh memalukan mangsa seperti gambar lucah.

Bagaimanapun, Reuters mendapati tiada bukti UAE mendedahkan maklumat-maklumat membinasakan yang ditemui melalui Karma.

Kerajaan UAE dipercayai membeli Karma daripada vendor di luar negara namun perisik-perisik tersebut tidak dapat mengesahkan dari mana peralatan itu dicipta.- MalaysiaGazette