Saifuddin Abdullah
Saifuddin Abdullah

KUALA LUMPUR – Menjelaskan isu politik juga sebahagian daripada kerja yang terpaksa dilakukan oleh pemimpin Pakatan Harapan (PH) terutama yang memegang jawatan Menteri Kabinet.

Ini dijelaskan Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah, apabila ada warganet mempersoalkan tanggungjawab pemimpin PH yang dilihat seperti ‘sibuk’ membicarakan soal kerjasama Pas, UMNO.

Menurut beliau, tidak ada seorang pun pemimpin PH yang berjawatan dalam kementerian tidak bekerja, walaupun dilihat seperti sibuk hal politik.

“Siapa kata kami tak kerja? Menjelaskan isu politik juga sebahagian daripada kerja,” katanya menerusi ciapan di akaun Twitternya semalam.

Beliau yang sebelum ini meninggalkan komen terhadap kerjasama Pas dan UMNO mendapat teguran warganet yang menasihatinya daripada terlalu fikirkan hal UMNO, Pas, lebih baik mengambil berat masalah rakyat.

Warganet itu kata, PH perlu penuhi janji manifesto dan terus membantu rakyat daripada membuang masa melayan UMNO dan Pas.

“Ajak rakan-rakan YB untuk terus bekerja untuk rakyat. Takkan nak jadi kerajaan sepenggal sahaja,” tulis warganet itu.

Ciapan warganet itu dibalas oleh Saifuddin dengan menyatakan, UMNO pernah dikafirkan oleh Pas suatu ketika dahulu dan parti yang konon memperjuangkan Islam itu pernah bekerjasama dengan DAP yang sebelum itu turut dikafirkannya.

Kini, balas beliau, Pas bekerjasama dengan UMNO dan melawan DAP.

“Definisi kafir oleh Pas adalah definisi politik,” ujarnya lagi.

Beliau turut menyatakan, masalah utama politik di Malaysia ialah politik ras, iaitu politik keagamaan dan bertambah teruk apabila dicampur adukkan dengan pemikiran agama yang sempit seperti isu mengkafirkan.

“Ia perlu dihentikan kerana boleh mengugat keharmonian dan seterusnya bidang lain termasuk ekonomi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast