Pekerja asing menunggu giliran untuk mendaftar pada hari terakhir bagi mendapatkan kad sementara EKAD ketika tinjauan Lensa Malaysia Gazette di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 30 JUN 2017

PETALING JAYA – Dasar pekerja asing yang kabur masih menghantui majikan, malahan isu kekurangan pekerja telah menyebabkan kos pengeluaran melonjak.

Berikutan daripadanya, pihak pengilang dan majikan meminta kerajaan mengurangkan kerenah birokrasi serta mengelakkan peranan orang tengah yang menyebabkan kos permohonan pekerja melonjak.

Sinchew Daily melaporkan, kos mendapat pekerja asing hanyalah RM3,000 malahan boleh menurun ke RM1,500 seorang jika pekerja itu direkruit secara terus dari negara sumber.

Peranan orang tengah bagaimanapun menyebabkan kos melonjak kepada RM13,000 hingga RM14,000 seorang.

Presiden Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM), Datuk Soo Thian Lai berkata, peranan orang tengah harus dikurangkan jika kos pekerja asing mahu diturunkan.

FMM, kata Thian Lai, mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan sebuah pusat sehenti yang diterajui Kementerian Sumber Manusia atau satu kementerian lain untuk mengendalikan semua permohonan secara dalam talian.

Katanya lagi, FMM juga sedang berbincang dengan pihak berkuasa berhubung pembekuan pengambilan pekerja Bangladesh dan Nepal.

“Saya difahamkan bahawa kerajaan sedang mengkaji dengan dua kerajaan tersebut tentang perjanjian bilateral membabitkan kerajaan dengan kerajaan (G2G).

“Kami berharap kos dan kerenah birokrasi dapat dikurangkan,” katanya yang berharap isu berkenaan diselesaikan secepat mungkin untuk mengatasi masalah kekurangan pekerja.

Beliau berkata, keizinan untuk mengambil pekerja asing akan membawa kelegaan kepada industri kecil dan sederhana serta industri berasaskan eksport.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan pula berkata, kerajaan tidak membekukan pengambilan pekerja asing secara formal.

Beliau berkata, kerajaan bagaimanapun menjadikan proses permohonan menjadi susah untuk mendapat pekerja asing.

Katanya, keadaan itu boleh difahami kerana ramai rakyat tempat juga menganggur dalam keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan.

Menurutnya, majikan pula berikhtiar untuk meningkatkan produktiviti pekerja termasuk meningkatkan kekerapan kerja lebih masa dalam keadaan kekurangan sumber manusia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast