Mohd Azis Jamman
Mohd Azis Jamman

KOTA KINABALU – Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, pihaknya kini sedang berusaha menjejaki dan menghapuskan ‘musuh dalam selimut’ yang berada dalam agensi penguatkuasa di bawah kementerian itu.

Beliau berkata, terdapat sebilangan kecil pegawai dalam agensi penguatkuasa menjadi dalang dengan membocorkan maklumat operasi sehingga membantutkan usaha membanteras kegiataan jenayah di negara ini.

“Saya tahu ada dalang dalam kalangan kita yang menjadi musuh dalam selimut membocorkan maklumat apabila kita melakukan operasi tertentu. Sebab itu kita sukar untuk menangkap kepala penjenayah itu…yang ditangkap hanya ‘ikan bilis’.

Ini adalah salah satu cabaran yang kita perlu hadapi. Oleh itu kita mahu bersihkan pengkhianat itu untuk mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap agensi penguatkuasa di bawah kementerian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Skuad ‘Realisasi Aspirasi Kesejahteraan Komuniti’ anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Kampung Darau, dekat sini hari ini.

Mengulas mengenai program berkenaan, Mohd Azis berkata penganjuran program itu sangat bertepatan dalam membantu memerangi dadah di negara ini, selain memupuk masyarakat tentang bahayanya dadah sehingga menjadi musuh nombor satu negara.

“Masalah dadah kini bukan setakat menjadi masalah sosial malah ia kini menjadi ancaman kepada keselamatan negara. Oleh itu komitmen dan penglibatan semua pihak khususnya di semua peringkat lapisan masyarakat diperlukan untuk membanteras dadah.

“Orang ramai perlu melaporkan sekiranya ada kegiatan dadah di kawasan masing-masing. Jangan biarkan ia melarat sehingga merosakkan anak-anak kita yang sudah tentu menjadi pemimpin masa hadapan negara,” katanya.

Mohd Azis berkata, dalam usaha memerangi dadah di Sabah pihaknya telah mengarahkan pihak polis dan beberapa lagi penguatkuasa termasuk Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melakukan tindakan tegas antaranya merobohkan rumah setinggan yang didapati melindungi pengedar dadah.

“Tindakan tegas ini menunjukkan kerajaan sangat serius dalam usaha memerangi dadah… jika kita lakukan operasi khususnya di perumahan setinggan dan mendapati ada dadah disimpan dalam rumah berkenaan maka kita akan robohkan rumah berkenaan. Ini adalah isyarat jelas bahawa kita tidak berkompromi soal dadah,” katanya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast