KUALA LUMPUR – Perjuangan penduduk setinggan Kampung Jinjang Selatan Tambahan, Kepong untuk memiliki rumah kos rendah di lokasi yang sama bakal menjadi kenyataan tidak lama lagi.

Akhbar Tamil Makkal Osai melaporkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah bersetuju untuk menyediakan rumah kos rendah seperti yang diperjuangkan lebih 300 keluarga di kawasan tersebut.

Datuk Bandar, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, tuntutan penduduk setinggan berkenaan akan ditunaikan dan rumah kos rendah akan dibangunkan di tempat duduk yang sama.

Berita itu dimaklumkan wakil penduduk setinggan berkenaan, A. Ponnambalam.

Laporan akhbar itu juga mendakwa, penduduk setinggan itu telah mengadakan protes ketika Barisan Nasional (BN) memerintah.

BN didakwa tidak peduli terhadap tuntutan penduduk setinggan itu.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor juga didakwa merobohkan setinggan itu dan menghalau penduduk tanpa mendengar tuntutan mereka.

Bagaimanapun, di bawah kerajaan Pakatan Harapan penduduk berkenaan mencuba nasib dengan mengemukakan tuntutan yang sama dan dipersetujui DBKL.

Terdahulu Pegawai Khas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad dikatakan telah melawat lokasi dan memantau situasi kehidupan yang dilalui penduduk itu.

Kerja-kerja pembinaan rumah kos rendah di Jinjang Selatan Tambahan dijangka bermula dalam tempoh dua bulan lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast