KUALA LUMPUR – Tiada sesiapa yang suka berjauhan dan kesunyian daripada keluarga dan kawan-kawan semasa Tahun Baharu Cina – lebih-lebih lagi buat pesakit-pesakit di hospital.
Bagi menggembirakan mereka, Perodua telah mengadakan lawatan ke wad pediatrik. Hospital Selayang baru-baru ini.
Seramai 10 sukarelawan Perodua telah mengadakan pelbagai aktiviti menarik untuk kanak-kanak, termasuk persembahan boneka dan badut, mewarna dan menyanyi.
Mereka juga membantu menceriakan ruang bermain kanak-kanak dengan membeli mainan dan buku baharu serta menghias dan membersihkan tempat tersebut.
Bersama-sama maskot UFirst Ari, para sukarelawan Perodua mengedarkan angpau dan hamper yang mengandungi beg tali dan alat tulis kepada kira-kira 80 orang pesakit kanak-kanak.
Mereka juga dijamu dengan hidangan makan tengah hari.
“Kami berharap sumbangan ini berjaya membawa semangat dan suasana Tahun Baharu Cina kepada kanak-kanak serta para pekerja yang tidak dapat meraikannya di rumah kali ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad.
Sempena lawatan itu, Perodua juga menyumbang tiga unit pulse oximeter (peralatan yang menyukat jumlah oksigen di dalam badan) dan enam buah skrin mudah alih, bernilai RM12,000 keseluruhannya, kepada wad pediatrik. – MalaysiaGazette