KUALA LUMPUR – Majlis Tindakan Ekonomi Negara (NEAC) yang baharu mesti mempunyai agenda yang lebih jelas bagi hala tuju ekonomi negara termasuk memperluaskan jaringan program keselamatan sosial untuk melindungi lebih ramai rakyat Malaysia yang memerlukan dan bukan hanya terhad kepada golongan berpendapatan rendah (B40) semata-mata.
Aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, bantuan itu harus diberikan kepada kumpulan pendapatan rendah (B40) dan pertengahan (M40) yang kebanyakannya terjejas oleh kelembapan ekonomi.
“Untuk membantu kumpulan M40 dan B40, kerajaan mesti menangani isu-isu yang mempengaruhi rakyat, terutama kenaikan harga makanan. Usaha untuk menangani kenaikan harga mesti membabitkan semua pihak dalam rantaian bekalan daripada pengeluar dan pembekal kepada pemborong dan peruncit,“ katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Lam Thye, langkah-langkah ini harus komprehensif supaya kerajaan dapat mengawal kenaikan harga di seluruh rantaian bekalan menerusi intervensi dan penguatkuasaan.
Dalam soal lain, kumpulan M40 juga prihatin mengenai harta benda dan penjagaan yang kesihatan mahal, tambah Lam Thye.
“Dana RM1 bilion bagi Rumah Mampu Milik Kumpulan B40 yang dilancarkan oleh Bank Negara, perlu diperluaskan kepada pembeli rumah M40. Peningkatan kos sara hidup telah memberi cabaran kepada kumpulan M40 untuk membeli rumah impian mereka dan dengan itu memerlukan beberapa bentuk bantuan.
“Skim insurans kesihatan kepada kumpulan M40 perlu diperluaskan oleh kerajaan, sementara itu ketidaksamaan yang besar dalam jurang pendapatan M40 di pelbagai negeri di seluruh Malaysia juga harus diberi perhatian,“ katanya.
Beliau berkata, NEAC 2.0 juga harus mempertimbangkan konteks setempat apabila mencari penyelesaian bagi masalah yang mempengaruhi kumpulan M40, dengan mengambil kira jurang pendapatan yang berbeza di negeri-negeri yang berbeza. – Bernama