KUALA LUMPUR – Rakyat berhak untuk meragui kebaikan dan keberkesanan Skim MySalam yang diperkenalkan Kementerian Kesihatan serta dirasmikan pelancarannya oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad Januari lalu.
Ini kerana, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) tidak putus-putus menerima aduan dan pertanyaan daripada orang ramai termasuk agen insurans berhubung motif sebenar skim berkenaan diperkenalkan.
Menurut Ketua Penerangannya, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif, skim itu kendengaran sangat baik, tetapi dikatakan tidak berpadanan dengan hakikat sebenar yang wujud kebarangkalian akan berlaku perkara yang mengecewakan rakyat.
“Persoalannya, adakah skim itu akan menguntungkan negara untuk jangka masa panjang dan apakah kesannya kepada syarikat insurans takaful tempatan lain yang tidak dipilih sebagai pengendali skim berkenaan.
“Penerimaan sumbangan sebanyak RM2 billion daripada Great Eastern Takaful ini masih kabur statusnya sama ada ianya sumbangan bebas cukai atau mendapat pengecualian cukai.
“Lebih menjengkelkan lagi apabila syarikat insurans yang tidak mematuhi syarat had pemilikan asing Bank Negara Malaysia (BNM) itu dilantik sebagai syarikat pengendali projek insurans MySalam,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Nasrul Ali Hasan mengibaratkan apa yang berlaku umpama syarikat berkenaan menyumbang RM2 billion premium insurans MySalam kepada syarikatnya sendiri.
Sumbangan itu, katanya, telah melahirkan keresahan dan tanda tanya kepada banyak pihak.
“Persoalan utama yang mengganggu fikiran rakyat, mengapa Great Eastern Takaful dipilih bagi mengendalikan skim itu. Apa kurangnya syarikat insurans lain seperti AIA, Zurich, Prudential dan lain-lain yang telah mengikut syarat telah ditetapkan BNM.
“Adakah sumbangan ini menjadi prasyarat bagi Great Eastern Takaful memenangi perjanjian itu atau sekadar laluan untuk sebuah syarikat yang tidak patuh arahan kerajaan mengenai pemegang saham lokal sebanyak 30 peratus itu melalui Kementerian Kewangan dan BNM untuk mencuci duit secara sah di sisi undang-undang Malaysia?
“Apakah perbezaan sumbangan ini yang memungkinkan ia terkait dengan amalan rasuah secara terbuka bagi mendapatkan projek kerajaan?” ujar beliau.
Katanya, Malaysia sehingga hari ini dikenali sebagai antara negara penyedia rawatan kesihatan terbaik di dunia, oleh itu, pelaksanaan Skim MySalam seharusnya dilakukan kajian menyeluruh supaya manfaatnya dapat mengurangkan beban B40 seperti didendang.
“Ini kerana pada ketika ini, tindakan mewujudkan MySalam ini seperti lebih menguntungkan syarikat insurans dari Singapura itu kerana mendapat pelanggan tetap seramai 3.69 juta orang selama lima tahun.
“Bahkan, sejumlah RM8,000 yang akan diberi kepada mereka yang dikenalpasti menghidapi satu daripada 36 penyakit kritikal itu juga masih tidak jelas.
“Sekurang-kurangnya kerajaan sudah menyediakan Standard Claim Procedure supaya penerima skim ini jelas dengan segala terma dan syarat, tapi sehingga kini ia menjadi tanda tanya adakah RM8,000 itu akan dapat sekaligus atau berdasarkan bayaran balik tuntutan,” katanya.
Beliau berkata, rakyat mengharapkan skim insurans kerajaan itu telus dan tidak terselindung seperti semua sedia maklum banyak perkara berkaitan tuntutan insurans yang kebiasaannya diputar belit dan akhirnya pesakit tidak menerima jumlah penuh seperti dijanjikan. – MalaysiaGazette