SHAH ALAM – Datuk Seri Mohamad Hasan memperbetul tanggapan moderator forum bual bicara, Tan Sri Johan Jaafar berhubung langkah UMNO yang dikatakan hanya untuk mengekal bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Menurutnya, tidak sesuai mendapatkan pandangan mengenai UMNO daripada parti lawan kerana jawapan yang akan diberikan mestilah tidak elok.
“Macam nilah Tan Sri. Bak kata orang tua-tua. Nak tahu panjang, berlikunya sungai, tanya pada seluang. Dalamnya lubuk, tanya memerang.
“Nak tahu lebarnya padang, tanya pada belalang. Nak tahu tebalnya hutan, tanya pak belang. Nak tahu eloknya orang, tanya pada kawan. Nak tahu tak eloknya orang, tanya pada lawan.
“Tan Sri tanya (berkenaan UMNO) kepada lawan, tak elok lah jawabnya,” katanya seraya hadirin ketawa mendengar jawapan itu.
Mohamad yang mesra dipanggil Tok Mat turut memperbetul terma yang digunakan Johan apabila menyebut nama Najib dengan menggelarnya sebagai ‘mantan’ perdana menteri.
Sebaliknya, Mohamad mahu agar ahli Parlimen Pekan itu dipanggil sebagai ‘bekas’ perdana menteri kerana sebutan bahasa tersebut menunjukkan maksud yang berbeza.
“Mantan ini bukan bahasa Melayu. Mantan ni short form (kata ringkas) mundar mandir tanpa jawatan.
“Jadi kita sebut bekas lah kan. Saya pun tak suka orang panggil saya mantan,” ujarnya yang kemudian turut disusuli ketawa oleh para hadirin dalam program itu. – MalaysiaGazette