Majlis Veteran Kebangsaan (MVK) dijadualkan bermesyuarat pada 28 Feb ini bagi membincangkan isu-isu berkaitan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk tentang meringankan beban sara hidup mereka.
KUALA LUMPUR – Majlis Veteran Kebangsaan (MVK) dijadualkan bermesyuarat pada 28 Feb ini bagi membincangkan isu-isu berkaitan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk tentang meringankan beban sara hidup mereka.

Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM Mej Jen Datuk Dzulkarnain Ahmad berkata antara yang dijangka menghadiri mesyuarat itu ialah Menteri Pertahanan Mohamad Sabu selaku Pengerusi MVK serta Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin yang juga Presiden Persatuan Veteran ATM.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan di sini hari ini bagi mengulas laporan berita bertajuk ‘Pesara Terkilan Tiada Bantuan RM1,200 Seperti Zaman BN’ yang disiarkan sebuah portal berita.

Beliau berkata Bantuan Bakti Negara (BBN) merupakan bantuan tahunan yang diperkenalkan pada 2016 berjumlah RM1,000 kepada veteran ATM yang tidak berpencen bagi mengurangkan beban kewangan mereka dan jumlah itu ditingkatkan kepada RM1,200 pada 2017.

Dzulkarnain berkata Kementerian Kewangan tidak memperuntukkan dana bagi pembayaran BBN yang dilaksanakan pada 2016 dan 2017, sebaliknya peruntukan bagi BBN sebelum ini yang berjumlah RM53 juta itu adalah hasil penjualan tanah kem ATM yang pada asalnya bertujuan menaik taraf kem sedia ada.

Tindakan itu mengakibatkan program menaik taraf kem-kem ATM sedia ada ditangguh dan justeru itu, bagi 2018 dan 2019, keutamaan diberikan kepada program-program menaik taraf kem ATM sedia ada yang tertangguh, katanya.

Difahamkan, terdapat lebih 40,000 pesara tentera tidak berpencen di seluruh negara menerima BBN sebelum ini.

Semalam, portal berita itu melaporkan pesara tidak berpencen meluahkan rasa terkilan susulan tiada lagi skim BBN sebanyak RM1,200 setahun yang sebelum ini bayaran dibuat menjelang akhir tahun.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast