Majlis Rumah Terbuka dan Penyerahan Sumbangan Tahun Baharu Cina di Dewan Serbaguna Taman Putri.
KULAI – Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian perlu memperjelaskan perkara yang sebenar kepada masyarakat berhubung dakwaan dirinya memiliki sijil akademik palsu.

Gesaan dibuat Pengerusi PKR Johor Hassan Karim berikutan isu itu telah pun menjejaskan imej Pakatan Harapan yang dahulunya menjanjikan reformasi dalam kepimpinan kerajaan.

“Dari segi undang-undang, memang pihak yang menuduh kena buktikan tuduhan mereka benar, bukannya pihak yang kena tuduh perlu beritahu bahawa dia adalah di pihak yang benar.

“Tetapi sebaiknya jelaskanlah apa yang sebenar kerana masyarakat hendak tahu,” kata beliau kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka dan Penyerahan Sumbangan Tahun Baharu Cina di Dewan Serbaguna Taman Putri di sini, hari ini.

Hassan berkata demikian sebagai mengulas kontroversi yang melanda beberapa pemimpin PH termasuk Osman yang dikatakan memalsukan sijil akademik mereka.

Menurut Hassan, penjelasan juga mustahak kerana dapat mencerminkan tahap integriti seseorang yang dipanggil sebagai tokoh masyarakat.

“Pendedahan (kontroversi) ini ada hikmahnya kerana kita mahu masyarakat, pemimpin dari peringkat rendah hingga tertinggi termasuklah diri saya agar sentiasa bercakap benar sekalipun kalau hanya ada sijil tingkatan tiga iaitu SRP, PMR, LCE.

“Jangan cakap yang tidak benar. Tidak baik sebab kita dipanggil tokoh masyarakat dan bila kita sudah jadi tokoh masyarakat, tidak ada benda yang private. Rakyat berhak untuk tahu,” katanya.

Osman sebelum ini dilaporkan mempunyai Ijazah dan diploma Perakaunan dari Universiti Pertanian Malaysia yang kini dikenali sebagai Universiti Putra Malaysia (UPM).

Namun pemeriksaan warganet mendapati UPM hanya mula menawarkan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan pada tahun 1985 manakala Diploma Perakaunan tidak ditawarkan di universiti tersebut.

Osman merupakan pemimpin ketiga daripada PH yang terpalit dengan kontroversi itu selepas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya.

— BERNAMA

Artikel berkaitan: