Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun (tengah) bersama Presiden ANSARA, Datuk Kamarul Redzuan Muhamed bergambar kenangan dengan penerima-penerima watikah Chef De Mission (CDM) cawangan pada Majlis Pelancaran Karnival Sukan ANSARA Malaysia ke-19 (KSA19) di Fakulti Pertanian Universiti Pertanian Malaysia (UPM), Serdang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 09 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPUR – Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun tidak gerun seandainya ada pihak atau warganet yang berminat untuk menyemak latarbelakang pendidikannya kerana yakin tidak ada apa-apa disembunyikan.

Kata Rina, beliau tidak bimbang langsung kerana kelulusan serta pendidikan dirinya bukan sesuatu yang perlu dipertikaikan seperti yang berlaku kepada segelintir pemimpin Pakatan Harapan (PH) ketika ini.

“Saya tidak gusar dengan mana-mana pihak yang mahu semak latarbelakang pendidikan saya. Saya tidak ada sebarang masalah langsung. Malah wajah saya jelas terpampang dalam majalah universiti saya sebelum ini.

“Sebenarnya, dunia kini lebih terbuka apatah lagi dengan adanya teknologi seperti media sosial. Masing-masing boleh bersuara, boleh suarakan pendapat dan harapan mereka.

“Saya sendiri pernah dikritik di media sosial secara negatif tapi apabila bertemu dengan saya, positif pula. Itulah hakikatnya,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Karnival Sukan ANSARA  Malaysia ke-19 di Fakulti Pertanian Universiti Pertanian Malaysia (UPM).

Rina Harun memiliki Diploma dalam Pengajian Perbankan dari Universiti Teknologi MARA sebelum melanjutkan pengajian ijazah pertamanya di Universiti Northwood di Michigan, Amerika Syarikat (AS) dalam bidang Perbankan dan Pengurusan Kewangan (BBA).

Menurut Rina lagi, selain daripada latarbelakang sesebuah pendidikan, rakyat juga perlu menilai bagaimana seseorang yang telah diberikan tanggungjawab ssebagai menteri mengemudi satu-satu kementerian tersebut.

MGF09022019_PELANCARAN KARNIVAL SUKAN ANSARA_15
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun bercakap kepada media pada Majlis Pelancaran Karnival Sukan ANSARA Malaysia ke-19 (KSA19) di Fakulti Pertanian Universiti Pertanian Malaysia (UPM), Serdang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 09 FEBRUARI 2019

“Ya, nilai integriti seseorang itu berdasarkan hasil kerja di kementerian juga.

“Saya harap semua dapat lihat juga bagaimana pimpinan kerajaan PH sedang bertungkus lumus meneraju negara setelah diambil daripada kerajaan terdahulu sejak lebih 60 tahun berkuasa.

“Benar, sudah sembilan bulan bak kata ‘due date’, tapi pada masa yang sama kerajaan sedang berusaha sejak sembilan bulan ini dalam menyelesaikan hutang serta permasalahan rakyat ditinggalkan oleh kerajaan sebelum ini,” ujarnya.

Menurut Setiausaha Akhbar Rina, Raja Noor Azlinda Raja Bahari Shah ketika ditemui MalaysiaGazette, Rina juga pernah dijemput oleh universiti Northwood ketika dilantik menjadi menteri beberapa bulan lepas bagi meraikan kejayaan beliau itu.

Baru-baru ini, beberapa pemimpin dalam Pakatan Harapan (PH) menjadi kritikan warganet apabila didakwa memiliki sijil pendidikan ‘palsu’ terutamanya dari universiti terkemuka dunia.

Antaranya, Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya yang pada awalnya mengakui dirinya dari Universiti Cambridge (London) sebelum menukarnya kepada sebuah universiti di AS pula.

Selain Marzuki, ada juga nama pemimpin seperti Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu serta Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian.

Orang ramai meragui kelayakan Osman yang mendakwa mempunyai ijazah dan diploma Perakaunan dari Universiti Pertanian Malaysia yang kini dikenali sebagai Universiti Putra Malaysia (UPM).

Rata-rata warganet juga mula mencari latarbelakang pendidikan serta universiti pemimpin khasnya yang berada dalam Kabine. –MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast