Rina Harun
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun bercakap ketika sesi sidang media pada Program Walkabout sebagai lawatan kerja di Bazar MARA, Semenyih, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 12 FEBRUARI 2019

SEMENYIH – Lebih banyak rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) berkonsepkan teknologi IBS akan disediakan dengan mengekalkan kualiti dan keluasan binaannya.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Harun berkata, setakat ini sebanyak 258 permohonan PPRT itu telah diluluskan di negeri Selangor dan 8,000 buah rumah PPRT untuk dibina pada masa depan.

Katanya, daripada jumlah itu terdapat rumah PPRT yang akan menjalani kerja membaikpulih dan penambahbaikan infrastruktur dan kemudahan asas.

“Ia adalah langkah awal untuk kerajaan membina rumah konsep IBS di seluruh negara dengan kos dan bajet kewangan yang diperuntukkan.

“Berdasarkan konsep IBS ini sesebuah rumah PPRT dapat dibina dalam masa 4 hingga 6 minggu berbanding pembinaan konvensional dibawah kerajaan terdahulu tiga hingga empat bulan untuk disiapkan.

“Ia akan menjimatkan kos pembinaan sehingga 18 peratus tetapi akan mengekalkan kualiti dan keluasan rumah dan satu kelebihannya ialah kapasiti tangki air ditambah kepada 150 liter dan ram khas untuk orang kelainan upaya (OKU) melancarkan pergerakan mereka.

“Sangat jelas dengan penjimatan kos ini, kerajaan dapat melaksanakan lebih banyak unit rumah yang berkualiti dan selesa untuk golongan yang sangat memerlukan itu,” katanya dalam sidang media sempena lawatan ke kawasan Dewan Undangan Negeri Semenyih hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, kata beliau, pihaknya menerima hampir 30,000 permohonan untuk PPRT setiap tahun dan permohonan tersebut disemak dan ditapis mengikut data E-Kasih serta hasil penyiasatan kementeriannya..

“Kalau seseorang pemohon itu didapati layak hasil siasatan kita sendiri tetapi tidak berdaftar dengan E-Kasih, maka kita akan mempertimbangkan dan meluluskan juga sekiranya dia benar-benar layak dan memerlukan bantuan tersebut,” tegas beliau.

Ditanya mengenai pengambilan pelajar ke Maktab Rendah Sains Mara, beliau berkata, kementeriannya akan terus membela nasib anak-anak golongan B40 dengan menetapkan pengambilan 60 peratus pelajar dalam kalangan komuniti itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast