Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi oleh Perdana Menteri tidak ada kena mengena dengan isu prestasi menteri-menteri Kabinet.

Datuk Seri Mohamed Azmin menegaskan, Kabinet kerajaan Pakatan Harapan tidak bergerak secara individu tetapi secara kolektif.

Sebaliknya, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu, matlamat penubuhan majlis itu untuk menangani masalah kesejahteraan rakyat dalam tempoh segera dan jangka sederhana.

“Antara matlamatnya untuk menangani masalah rakyat, kos sara hidup, harga barang mahal.

“Maka majlis ini akan melihat pendekatan segera dan jangka sederhana untuk menangani masalah ini, yang mana orientasi Majlis Tindakan Ekonomi ini adalah tindakan,” katanya di sini.

Jelas Azmin lagi, majlis itu terdiri daripada pelbagai pihak yang memiliki kepakaran dan kemahiran masing-masing serta reputasi cukup baik.

“Input mereka sangat penting untuk perhalusi dan kita akan buat keputusan secara bersama supaya tindakan diambil akan beri kesan positif,” ujarnya.

Semalam Pejabat Perdana Menteri mengumumkan penubuhan majlis tersebut yang akan bertindak untuk meneliti dan membuat keputusan berkaitan hal ehwal ekonomi dan kewangan serta kebajikan rakyat.

Katanya, majlis ini ditubuhkan bagi menyahut dan bertindak ke atas maklum balas rakyat jelata terhadap masalah yang mereka hadapi, khususnya dalam bidang ekonomi.

Matlamat utama majlis ini adalah untuk merancakkan dan merangsang pertumbuhan ekonomi yang mampan, pengagihan kekayaan yang saksama, dan seterusnya meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Selain itu, ia juga akan meneliti isu-isu berkaitan kos sara hidup, guna tenaga, kemiskinan dan pemilikan rumah. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan: Majlis Tindakan Ekonomi vs Prestasi Menteri – A Kadir Jasin

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast