Datuk Mohamaddin Ketapi. foto HAZROL ZAINAL, 17 DISEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya menggesa pengusaha pelancongan tidak berdaftar termasuk pengusaha AirBnB di seluruh negara agar segera mendaftarkan perkhidmatan mereka dengan kementerian sebelum sebarang tindakan undang-undang diambil.

Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, kelewatan berbuat demikian memungkinkan pengusaha-pengusaha terbabit dikenakan tindakan keras dari kementerian dan pihak berkuasa tempatan.

“Kita menyeru kepada pengusaha-pengusaha terbabit agar segera berdaftar dengan kementerian bagi mengelak tindakan undang-undang diambil di bawah Akta Industri Pelancongan (AIP) 1992.

“Selain itu pihak kementerian juga sedang giat menjejaki pengusaha-pengusaha yang dikenalpasti tidak berdaftar dan menasihati mereka untuk mendaftar dengan kami,” katanya dalam satu kenyataan selepas mengadakan pertemuan dengan Persatuan Hotel Budget Malaysia (Mybha) di pejabatnya di Putrajaya pada hari ini.

Pada pertemuan tersebut beberapa isu berbangkit telah dibincangkan oleh Mybha yang diwakili pengerusinya, PK Leong antaranya adalah mengenai dakwaan lambakan premis hotel haram dan AirBnB.

Mengulas lanjut mengenai AirBnB, Mohamaddin berkata perbincangan pelaksanaan syarat-syarat bagi perniagaan terbabit telah diadakan oleh wakil kementerian bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Seperti mana pendaftaran perniagaan oleh pengusaha hotel, AirBnB juga perlu melalui proses sama iaitu berdaftar dengan kementerian dan memohon lesen perniagaan dari pihak berkuasa tempatan.

“Bagi tujuan itu kementerian sedang dalam perbincangan dengan KPKT bagi mengenalpasti mekanisme baharu bagi pendaftaran perniagaan bagi pengusaha AirBnB di seluruh negara,” katanya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast