Gambar kereta dengan lambang Ahli Parlimen di ruang letak kenderaan OKU yang tular di media sosial.

KUALA LUMPUR – Semalam tular gambar sebuah kereta Honda dengan lambang Ahli Parlimen parkir di tempat letak kereta khas bagi Orang Kelainan Upaya (OKU) di Ayer 8, Putrajaya.

Gambar itu menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan warganet yang menyifatkan perbuatan tersebut sebagai tidak wajar sambil mereka tertanya-tanya siapakah pemilik kenderaan tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa kemudian tampil menerusi laman Facebook mengakui kereta tersebut adalah miliknya.

“Saya menerima sekeping gambar untuk pengesahan. Saya akui itu adalah kenderaan saya,” katanya.
Beliau menjelaskan lebih lanjut bahawa keretanya dengan lambang Ahli Parlimen itu digunakan oleh anak-anaknya untuk membawa datuk mereka makan di restoran.
Mujahid juga memberitahu beliau menjaga bapanya mentuanya yang uzur dan berkerusi roda.

“Mereka telah menggunakan kemudahan parking OKU kerana merasakan ia dapat memberi kemudahan kepada datuk mereka yang uzur.

“Saya mewakili anak-anak memohon maaf atas apa yang berlaku dan mengucapkan terima kasih di atas teguran ini,” katanya.

Mujahid turut  memuatnaik sekeping gambar beliau bersama bapa mentuanya yang berkerusi roda.

mujahid
Gambar yang dimuatnaik Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa di laman Facebook.

Berdasarkan peraturan sedia ada, kemudahan parkir OKU disediakan untuk golongan tersebut bersyarat iaitu mereka mestilah merupakan seorang OKU yang memandu sendiri kenderaan yang telah diubahsuai untuk kegunaan OKU berdasarkan kekurangan fizikal masing-masing.

Pemandu itu pula perlulah memiliki kad OKU yang dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan pengesahan daripada doktor. Kemudian, mereka perlu pula mendapatkan pelekat khas OKU untuk ditampal dengan jelas pada kenderaan yang akan digunakan itu tadi. Pelekat itu hanya dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sahaja.

Jika menepati semua keperluan ini maka barulah anda boleh meletakkan kenderaan diruang khas OKU dan sesiapa yang melanggar peraturan boleh dikenakan kompaun. – MalaysiaGazette