PETALING JAYA – Tindakan menggantung lesen untuk pesalah trafik di atas jalan raya seluruh negara adalah penguatkuasaan terakhir Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, kesedaran penting untuk diterapkan dalam bentuk advokasi terhadap pengguna jalan raya di negara ini.
“Tindakan penggantungan lesen adalah penyelesaian terakhir. Kalau lesen dia digantung saya takut dia akan membawa kenderaan lagi.
“Bagaimana kita boleh pasti dia tidak bawa kenderaan selepas lesennya digantung,” kata beliau ketika ditanya pemberita dalam sidang media di Persada PLUS di sini.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penganugerahan Kontinjen dan Daerah Polis Terbaik Op Selamat 14 Sempena Tahun Baru Cina 2019 yang diadakan dari 29 Januari hingga 12 Februari lepas.
Noor Rashid mengulas cadangan supaya pesalah trafik untuk enam kesalahan utama iaitu menggunakan telefon bimbit sambil memandu, memotong barisan, memotong garisan berkembar, melanggar lamou isyarat, memandu di lorong kecemasan dan melanggar had laju jalan raya supaya digantung lesen memandu sebagai advokasi tegas demi mendisiplinkan mereka.
Ia sejajar dengan komitmen dan sasaran Kementerian Pengangkutan untuk mengurangkan kadar kemalangan jala raya dalam tempoh masa lima tahun akan datang.
Segala advokasi pendidikan tidak menampakkan keberkesanan dan tidak dipedulikan pemandu serta pesalah tegar trafik dan segala penguatkuasaan berbentuk pendidikan dan saman tidak memberi impak penurunan kesalahan dan kemalangan yang ketara dalam kalangan pemandu yang semakin berani mengulangi perbuatan tidak bertanggungjawab itu.
Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor diangkat sebagai daerah terbaik Op Selamat 14 Tahun Baru Cina 2019 kali ini.
Dalam perkara sama beliau menjelaskan bahawa tindakan orang yang digantung lesen memandu kenderaan tanpa lesen dan perlindungan insurans kenderaan boleh mendatangkan penganiayaan kepada pengguna lain di atas jalan raya.
“Ini antara perkara kita perlu fikirkan.. Jadi kalau perlu sahaja saya rasa tindakan penggantungan lesen ini perlu dilaksanakan.
“Contohnya kalau dia pemegang lesen pengangkutan awam itu boleh ditarik sebab dia menggunakan kenderaan setiap masa membahayakan masyarakat..ini boleh dibuat,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette