KUALA LUMPUR – Kabinet telah bersetuju untuk memberikan kelulusan khas kepada Kinrara Oval untuk terus beroperasi di tapak asal pusat kriket nasional.
Tanpa menyatakan tempoh, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pihaknya menetapkan kelulusan itu selepas mengadakan perbincangan pemilik Kinrara Oval iaitu Perumahan Kinrara Berhad (PKB).
“Keputusan ini merupakan penyelesaian kepada kemelut melibatkan Persatuan Kriket Malaysia (MCA) dan pemilik tanah apabila tempoh pajakan bermula 1 November 2003 telah berakhir 31 Oktober 2018.
“Lanjutan tempoh operasi akan dibincangkan melalui mesyuarat tiga hala di antara Kementerian Belia dan Sukan, PKB dan MCA,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kinrara Oval siap dibina pada 2003 dan sejak itu, ia sudah menganjurkan kejohanan bertaraf tinggi seperti Piala DLF membabitkan India, Australia dan Persekutuan Hindia Barat serta Piala Dunia Bawah 19 tahun.
Bagaimanapun, pihak pemaju sudah menghantar notis untuk mengosongkan tanah terbabit ini pada 31 Oktober 2018.
Tanah itu dipajakkan kepada MCA pada tahun 2004 selama 15 tahun berakhir 31 Oktober 2018.
Syed Saddiq memberi jaminan isu Kinrara Oval akan diselesaikan secara bersama bagi memastikan semua pihak mendapat keadilan terbaik khusus pembangunan sukan kriket di negara ini.
“Keputusan kerajaan berhubung tindakan ini adalah demi memastikan pembangunan sukan kriket negara akan terus dibantu dan disokong demi kemajuan sukan negara.
“Sukan kriket negara telah berkembang sejak berdekad yang lalu dan perkembangannya akan terus disokong oleh pihak kerajaan.
“Kerajaan komited terhadap pembangunan sukan termasuklah
kepentingan prasarana sukan seperti Kinrara Oval yang cukup
signifikan dengan sukan kriket Malaysia,” katanya.
Kinrara Oval telah menjadi tuan rumah beberapa temasya dan kejohanan bertaraf antarabangsa seperti Sukan SEA 2017, Piala Dunia Remaja dan Piala Asia ACC Wanita. – MalaysiaGazette