KUALA LUMPUR – Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian mengakui pernah menuntut di Kolej Pertanian Malaya yang kini dikenali Universiti Pertanian Malaysia (UPM), namun tidak menamatkan pengajian.
Katanya, kemunculan maklumat di beberapa laman web yang menyatakan beliau berkelulusan Diploma dan Ijazah Perakaunan daripada UPM adalah di luar pengetahuannya.
“Oleh itu, saya dengan penuh rasa rendah diri memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia terhadap kekeliruan dan salah faham berhubung kelayakan akademik saya,” katanya dipetik dari Harian Metro.
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor berkata demikian ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS).
Atas rasa tanggungjawab, Osman mengarahkan semua maklumat berkaitan kelulusan Diploma dan Ijazah Perakaunan daripada UPM diturunkan (dipadam) serta merta daripada mana-mana laman web rasmi.
Beliau juga berharap isu tersebut tidak diperbesarkan lagi mana-mana pihak. – MalaysiaGazette
Artikel berkaitan:
Selepas Marzuki, kini MB Johor pula didakwa ‘miliki’ ijazah palsu
MB Johor sila tunjuk bukti, kalau tidak letak jawatan
Isu sijil palsu: Sebaiknya MB Johor jelaskan – PKR negeri
MB Johor bazirkan duit rakyat untuk ‘YB palsu’?