Baru Bian
Baru Bian

CHUKAI – Ketetapan sama ada sisa sampah plastik dan getah asli latex boleh digunakan sebagai bahan campuran turapan jalan raya dalam negara hanya akan diputuskan pada Oktober 2020.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, ini kerana ia perlu mengambil kira hasil kajian di Jalan Persekutuan dekat Geliga di sini yang menggunakan bahan itu sejak Oktober lalu kerana keberkesanannya hanya akan diketahui selepas pemantauan dilakukan selama dua tahun.

“Teknologi turapan jalan dalam negara mengalami beberapa inovasi dengan pencarian bahan dan kaedah pembaikan terus dilakukan bagi meningkatkan daya ketahanan jalan seterusnya memanjangkan tempoh hayatnya,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak kajian turapan jalan raya itu di Geliga dekat sini, hari ini.

“Difahamkan, kos pembinaan jalan raya menggunakan sisa plastik dan getah asli lateks ini tidak lah terlalu mahal dan kelebihannya ialah lebih berdaya tahan berbanding turapan jalan konvensional. Ia lebih menjimatkan untuk penggunaan jangka panjang,” tambahnya.

Kajian bahan turapan jalan raya iaitu asphalt yang dicampur dengan sisa plastik dan getah asli latex itu dilakukan oleh Makmal Penyelidikan Jalan, Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi JKR (CREaTE).

Dua lokasi telah dipilih sebagai tapak kajian iaitu di Jalan Persekutuan FT3 di Chukai, Kemaman, Terengganu dan FT98 di Kerdau, Temerloh, Pahang.

Kaedah pembaikan di kedua-dua tapak kajian ini ialah dengan teknik membuang satu lapisan sedia ada yang rosak setebal 50 milimeter dan menggantikannya semula dengan turapan baharu yang menggunakan asphalt bercampur sisa plastik dan susu getah asli.

Mengulas lanjut, beliau berkata, jika penggunaan dua bahan itu terbukti memanjangkan jangka hayat turapan jalan, ia adalah ‘berita baik’ untuk menggiatkan industri getah dan masalah pembuangan sampah dalam negara. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast