Calon BN PRK N.24 Semenyih, Zakaria Hanafi (dua kiri) diringi Ahli Parlimen Semberong, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (tiga kiri) mendengar nyayian pemuzik kurang upaya ketika sesi walkabout sempena Pilihan Raya Kecil N.24 Semenyih di Pasar Malam Tasek Kesuma, Selangor. foto MUHAMMAD ZULHAIRI, 17 FEBRUARI 2019

KAJANG – Dakwaan Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung pendedahan Pas tidak akan menyokong UMNO dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih didakwa cuba mengalihkan isu mengenai kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, isu tersebut sengaja ditimbulkan ditengah-tengah kemelut kemarahan rakyat terhadap kerajaan yang memerintah pada hari ini.

“Bagi kita cukuplah untuk mereka melaga-lagakan kita. Jelas apa jua yang dibuat diperingkat nasional, di peringkat akar umbi
apa yang digembar-gemburkan bukan jadi kenyataan kepada rakyat di bawah ini.

“Mungkin kenyataan-kenyataan yang dibuat ini nak alih pandangan orang ramai lepas daripada perkara pokok iaitu perkara harian berkaitan kos sara hidup, masalah kerja, Tabung Haji dan banyak lagi,” katanya.

Beliau yang juga bekas Naib Presiden UMNO itu berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan dan taklimat gerak kerja kepada jentera Barisan Nasional (BN) PDM Kantan Permai di sini hari ini.

Hishamuddin menjawab soalan wartawan berhubung pendedahan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pas tidak akan menyokong UMNO dalam PRK Semenyih dan mendakwa mempunyai pengakuan secara bertulis dan ditandatangani ketika pertemuannya dengan Abdul Hadi di Yayasan Al-Bukhary kelmarin semalam.

Hisamuddin berkata, rakyat tidak akan terpedaya meskipun apa jua dikatakan oleh Pengerusi PH itu kerana mereka boleh melihat sendiri gandingan mantap antara kedua-dua parti dalam menyatukan umat Islam dan kaum Melayu.

“Benda-benda macam itu saya rasa orang takkan terpedaya lebih-lebih lagi bila tengok semangat gandingan ini,” ujarnya.

Dalam pada itu Hishamuddin berkata, PRK Semenyih merupakan sebuah pilihan raya yang penting sebagai isyarat kepada kerajaan untuk melaksanakan tanggungjawab tanpa perlu menuding jari lagi menyalahkan kerajaan terdahulu.

“Inilaha masanya. Bukan boleh memerintah pun kalau di Semenyih ni, tapi sekurang-kurangnya nak sampaikan mesej cukup-cukuplah nak memperbodohkan kita.

“Ini masihnya untuk mereka mentadbir negara memerintah dan menjalankan tugas masing-masing dikementerian dengan jujur.

“Cukup-cukuplah hendak memecahkan pemimpin daripada pembangkang, kerana harga sawit masih lagi rendah, harga getah masih lagi merudum, minyak naik lagi, barang naik lagi, orang dah marah, janji-janji tak ditunaikan,” tambah beliau.

Katanya lagi, kerjasama yang dijalinkan antara BN dan Pas mampu membina perpaduan dan bukan perpecahan kepada rakyat. – MalaysiaGazette