Tun Dr. Mahathir
Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad mengakui harga barang akan tetap naik pada masa depan.

Perdana Menteri berkata, kenaikan harga barang dan nilai harta itu disebabkan proses ekonomi negara yang sudah berstatus negara maju.

“Semasa saya kecil, saya ke kedai dengan (bawa) satu sen (dapat) beli dua tiga rempah ratus. Satu sen sahaja tapi satu sen sahaja tak boleh beli apa-apa sekarang kerana barang sudah meningkat.

“Cuma harga air yang kita jual kepada Singapura sahaja tidak naik. Kita masih jual tiga sen untuk 1,000 gelen. Kita jual air kita 1,000 gelen dapat tiga sen, nak beli nasi lemak pun tak boleh. Itulah keadaan apabila harga dan nilai tidak ditingkatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Karnival Komuniti Berdaya sempena pelancaran Dasar Komuniti Negara di padang awam Puchong Indah, dekat sini, hari ini.

Jelas Mahathir, semua harga barangan sudah meningkat dan hakikat itu tidak boleh dielak oleh sesiapa hatta di mana saja negara di dunia ini.

Bagaimanapun, kata Mahathir, menjadi tanggungjawab dan tugas kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk menentukan peningkatan harga agar menjadi membebankan rakyat.

“Sebab itulah kita bina rumah mampu milik dan rumah murah. Kita tahu kalau pasaran dibenarkan tentukan harga, ia akan meningkat tanpa had dan pihak yang membina rumah ini akan naikkan harganya sehinggakan yang miskin tidak mampu membeli serta memiliki rumah.

“Kita bertanggungjawab pada semua pihak sama ada yang miskin mahupun kaya dengan kerajaan mencipta rumah mampu milik dan rumah murah.

“Negara kita ini sedang maju dan kemajuan ini tetap akan dirasai oleh rakyat, tapi kita ingin kurangkan bebanan itu supaya semua pihak dapat nikmati kehidupan yang selesa,” katanya.

Beliau berkata, tidak ada maknanya negara mencapai pembangunan amat tinggi, sedangkan rakyat di kampung masih tinggal di rumah robek tanpa bekalan air, elektrik dan jalan berturap tar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast