KAJANG – Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein membidas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang menuding jari kepada kerajaan dahulu berhubung pembabitan syarikat loteri yang membiayai pihak polis bagi lawatan sambil belajar ke Turki.
Ahli Parlimen Sembrong berkata, tidak wajar untuk Guan Eng mengaitkan lagi Barisan Nasional (BN) pada ketika ini kerana Pakatan Harapan (PH) sudah menjadi kerajaan.
Hishamuddin merasakan pembiayaan Ketua Polis Negara, Tan Sri Muhammad Fuzi Harun dan rombongannya ke Turki itu dibiayai oleh pihak yang mempunyai kepentingan dan ia perlu diperjelaskan.
“Sekarang ini dia yang memerintah kalau nak tuding jari kepada kerajaan sebelum ni untuk apa?” soalnya.
Hishammudin yang juga mantan Menteri Dalam Negeri ketika BN memerintah berkata, banyak perkara yang diluluskan oleh kerajaan terdahulu sudah dibatalkan oleh Guan Eng.
Katanya, mengapa pula mengenai perihal pembabitan polis dibawah Kementerian Dalam Negeri itu, Guan Eng cuba mengheret BN setelah ia menjadi isu yang hangat diperkatakan.
“Jadi, kalau orang kata sekarang ini dah diluluskan oleh kerajaan sebelum ini.
“Banyak perkara yang diluluskan oleh kerajaan sebelum ini dah dibatalkan oleh Lim Guan Eng. Kenapa ini pula dia cuba nak selindung nak menyalahkan kita,” soalnya lagi.
Sebelum ini, gambar Mohamad Fuzi dan beberapa pegawai kanan polis menyertai rombongan ke Turki untuk mempelajari dasar perjudian dalam talian disiarkan dalam media sosial.
Menurut laporan, rombongan seramai 16 pegawai kanan polis itu menelan belanja lebih RM300,000 dengan penerbangan kelas perniagaan dan penginapan di hotel lima bintang.
Malah Guan Eng berkata, tajaan lawatan ke Turki itu tidak menggunakan satu sen pun duit kerajaan sebaliknya ditaja sepenuhnya oleh syarikat nombor ramalan, Da Ma Cai.
Malah, Guan Eng turut menjelaskan, tajaan itu dibuat oleh Lembaga Totalisator syarikat perjudian itu memberi ‘tawaran’ kepada polis setiap tahun dan bermula sejak dari zaman pemerintahan kerajaan BN.
Terdahulu, Hishamuddin melakukan walkabout di pasar malam Jenaris di sini sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih.
Beliau mengiringi calon BN, Zakaria Hanafi dan turut sama dalam walkabout itu, Timbalan Ketua Penerangan Pas Pusat, Roslan Shahir. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
https://malaysiagazette.com/blog/2019/02/14/penajaan-kpn-ke-turki-diluluskan-sejak-2017-lagi/