KUALA LUMPUR – UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan berkempen habis-habisan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih ini bagi memastikan kemenangan calonnya, Zakaria Hanafi.
Dengan kemenangan itu, secara tidak langsung UMNO dan BN telah berjaya mengajak rakyat agar memberi pengajaran kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Menurut bekas Ahli Parlimen Sungai Besar, Datuk Budiman Mohd Zohdi, walaupun kemenangan itu tidak akan mengubah kedudukan BN di peringkat Persekutuan, tetapi sekurang-kurangnya dapat memberi peringatan kepada PH.
“Ini sebagai isyarat kepada kerajaan PH supaya tidak memerintah negara ini sesuka hati mereka.
“Rakyat makin hidup susah. Pemimpin PH pula kuat berlakon,” katanya dalam hantaran akaun Twitternya hari ini.
Budiman berkata, beliau sedih dengan kerajaan PH, yang mana sebelum PRU14, macam-macam menabur janji dan menyatakan kesungguhan mereka membantu meningkatkan taraf hidup rakyat.
Bagaimanapun, katanya, setelah mengambil alih kerajaan Persekutuan, sumbangan kepada rakyat seolah terhenti dan banyak program berbentuk kebajikan telah dibatalkan.
“Hanya rakyat atau pengundi di setiap kawasan Parlimen dan DUN yang dapat mengubahkan nasib mereka dengan memberi kemenangan kepada BN menerusi PRK DUN Semenyih dan PRU15 akan datang. – MalaysiaGazette