LONDON – Maurizio Sarri menunggu masa untuk dipecat sebagai pengendali Chelsea selepas anak buahnya disingkirkan oleh Manchester United pada pusingan kelima Piala FA, awal pagi tadi.
Sarri kini semakin tertekan untuk mempertahankan jawatannya selepas Chelsea yang juara bertahan Piala FA tewas 2-0 di Stamford Bridge.
Ander Herrera membuka gol pendahuluan pelawat menerusi tandukan pada minit ke-31 hasil hantaran lintang Paul Pogba.
Pogba terus memberikan kedudukan selesa apabila menambah jaringan United sebelum rehat, juga menerusi tandukan selepas menerima hantaran daripada Marcus Rashford.
Mengulas sama ada dia risau sekiranya pemilik kelab, Roman Abramovich akan memecatnya, Sarri berkata bukan ia masalah dirinya.
“Saya lebih risau tentang keputusan dan bukannya reaksi peminat ketika ini.
“Sudah tentu saya memahami situasi sekarang kerana keputusan tidak berapa baik dan kami terkeluar daripada Piala FA,” katanya memetik laporan The Telegraph.
Sarri juga percaya keadaan akan bertambah baik sekiranya Chelsea mula mencatat deretan kemenangan, bermula dengan aksi 32 terakhir Liga Europa pada Khamis ini menentang Malmo dan menentang Manchester City dalam final Piala Liga pada Ahad. – MalaysiaGazette