KUALA LUMPUR – Kerjasama UMNO dan Pas bukan ketika pilihan raya kecil sahaja tetapi merentasi agenda lebih besar iaitu agenda Melayu dan Islam.
Timbalan Presiden yang memangku tugas Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan, bukan sahaja Pas malah pihaknya bersedia bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang berkongsi matlamat yang sama.
Fokus utama adalah kegagalan kerajaan ‘kakistokrasi’ Pakatan Harapan (PH) dalam melaksanakan janji, merendahkan kos sara hidup, harga barangan harian, serta hal-hal asas ekonomi yang lain. Semua isu-isu ini amat dirasai oleh rakyat di Semenyih dan seluruh negara ketika ini.
“Kerjasama UMNO dan Pas lebih besar dan strategik nilai dan kepentingannya dari hanya menghadapi sebuah pilihanraya di Semenyih. Ia berkisar tentang orang Melayu – Muslim yang merasa mereka semakin marjinal.
“Telah ada usaha-usaha yang sistematik yang mula mengenepikan mereka dari arus pembangunan dan wacana politik negara. Identiti, agama dan cara hidup mereka semakin digugat, secara zahir mahupun tersembunyi agar ideologi ‘Malaysian – Malaysia, No Race, No Religion’ direalisasikan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mohamad, Ideologi itu manifestasi jelas kepada ketidakhirauan kerajaan PH dan ahli-ahli politik DAP terhadap budaya dan nilai hidup orang Melayu – Muslim.
“Ia sama sekali mengenepikan karakter Malaysia dan mewujudkan keraguan pada diri orang Melayu terhadap kemampuan kerajaan PH dalam menjaga nilai, cara hidup dan norma budaya orang Melayu pada abad ke-21,” ujarnya lagi.
Sehingga ini, menurut Mohamad, tiada satu pun pelan konkrit PH menyentuh peningkatan tahap pendidikan, ekonomi dan sosio-budaya orang Melayu yang diumumkan serta dengan serius diusahakan oleh kerajaan.
“Akhirnya, suka untuk diingatkan bahawa sebarang kenyataan daripada mana-mana pimpinan PH seakan tidak boleh diambil serius kerana semenjak sembilan bulan lepas, segala janji dalam menifesto mereka gagal ditunaikan,” katanya.- MalaysiaGazette