KUALA LUMPUR – Pemuda Parti Amanah Negara (PAN) Perak kesal dengan tindakan seorang pemilik akaun Facebook, Foo Sing Wai menghina Nabi Muhammad dan isteri, Saidatina Aishah.
Individu tersebut telah memuat naik satu karikatur kartun dalam keadaan seorang lelaki berbogel yang digambarkan sebagai Rasulullah dan isteri baginda.
Menurut Ketua Pemuda PAN Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim, tindakan itu sangat melampau dan keterlaluan, selain melanggar sensitiviti umat Islam bukan sahaja di negara ini, malah di seluruh dunia.
Katanya, semua sedia maklum Nabi Muhammad adalah insan yang paling dihormati dan mulia disisi umat Islam dan tindakan menghina Rasulullah seolah mencabar kesabaran umat baginda.
“Kami beranggapan, penghinaan tersebut secara tidak langsung telah menggugat keamanan dan mencemarkan keharmonian negara.
“Seharusnya seluruh rakyat Malaysia menghormati sensitiviti semua agama di dalam negara ini dan tidak melakukan sebarang tindakan yang mampu mencetuskan ketegangan,” katanya kepada media hari ini.
Justeru, beliau mendesak pihak bertanggungjawab termasuk polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan secara tuntas dan sewajarnya.
“Kami yakin kerajaan Malaysia era Malaysia Baharu tidak akan membiarkan tindakan melampau sebegini berleluasa.
“Kami juga yakin, penghinaan ini tidak mewakili mana-mana pihak dan kami percaya tindakan Foo Sing Wai dikutuk oleh seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keharmonian dalam kepelbagaian kaum.
“Isu ini bukan sekadar sensitiviti, tetapi salah satu intipati ajaran agama Islam,” katanya. – MalaysiaGazette