SEMENYIH – “Saya kena semak balik rekod, tak semua saya ingat.”
Itu kata bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengulas lawatan Ketua Polis Negara, Tan Sri Muhamad Fuzi Harun ke Turki tajaan syarikat nombor ramalan, Da Ma Cai yang diluluskan pada zaman beliau dalam kabinet.
Beliau berkata demikian selepas penampilan semula selepas bercuti dalam Program Sembang Santai Barisan Nasional (BN) sempena PRK DUN Semenyih malam ini.
Presiden UMNO itu turut menyeru agar kerajaan Pakatan Harapan (PH) agar membuat siasatan terhadap perkara itu.
“Kalau perkara itu ada kebenarannya maka saya fikir kerajaan sekarang harus melakukan siasatan kerana kita tidak pernah berkompromi dengan aktiviti judi sebab apa judi pun adalah haram di sisi Islam,” katanya lagi.
Terdahulu, Ahmad Zahid memulakan program dengan menunaikan solat Maghrib di Surau At Taqwa, Kampung Sentosa.
Turut hadir adalah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan, Datuk Seri Shahidan Kassim, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, bekas ADUN Semenyih, Datuk Johan Abdul Aziz dan calon BN, Zakaria Hanafi.
Sejurus selepas menunaikan solat Maghrib, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu kemudiannya ke Taman Desa Kenanga 3 untuk menunaikan solat Isyak berjemaah.
Sebelum ini, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kos lawatan Mohamad Fuzi dan beberapa pegawai kanan polis ke Turki tidak ditanggung oleh kerajaan tetapi diluluskan oleh Kementerian Kewangan kerna mendapat sumber kewangan daripada Da Ma Cai.
Guan Eng berkata, kerajaan meluluskan lawatan itu sejak tahun 2017 lagi.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan Mohamad Fuzi mengetuai sekumpulan pegawai kanan polis dalam lawatan ke Istanbul untuk belajar kaedah membanteras perjudian atas talian dengan tajaan lembaga itu.
Untuk rekod, ketika lawatan itu dibuat, jawatan Menteri Dalam Negeri disandang oleh Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
https://malaysiagazette.com/blog/2019/02/17/hishamuddin-bidas-guan-eng-isu-lawatan-kpn-ke-turki/