Boo Cheng Hau

KUALA LUMPUR – Dr Boo Cheng Hau mendakwa dia tidak melakukan sebarang kesalahan berhubung gesaannya supaya Tun Dr Mahathir Mohamad meletakan jawatannya.

Malah, katanya, Dr Mahathir pernah membuat gesaan sama kepada Tunku Abdul Rahman.

“Tiada ada bezanya dengan gesaan Mahathir supaya Tunku Abdul Rahman meletakan jawatan pada tahun 1969,” kata Boo kepada sebuah FMT.

Menurut beliau, ia adalah hak demokratik awam untuk menuntut ‘pemimpin terbaik yang difikirkan’ untuk meneraju negara ini.

Semalam, Ahli jawatankuasa DAP Johor itu secara terbuka meminta Mahathir meletakkan jawatan.

Menurut Cheng Hau, Dr. Mahathir tidak percayakan keupayaan diri sendiri dan manifesto Pakatan Harapan (PH) apabila mengeluarkan kenyataan “manifesto tersebut hanyalah satu garis panduan dan bukannya bible” yang perlu dipatuhi.

Tambahnya, pemimpin-pemimpin PH yang percaya tiada perubahan yang boleh dilakukan dalam kerajaan tanpa Dr. Mahathir adalah bodoh.

Ahli jawatankuasa DAP Johor juga membidas Bersatu kerana menerima bekas pemimpin UMNO.

Bersatu, katanya, telah banyak kali melanggar konsesus dan perjanjian yang telah dibuat dalam PH termasuk dalam isu menghalang amalan lompat parti.

Kenyataan terbuka Cheng Hau itu disifatkan sebagai angkuh oleh Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Muhammad Faiz Na’aman kerana menafikan peranan Dr Mahathir dalam kemenangan PH pada PRU lalu.

Cheng Hau berkata, dia selalu menghormati daya tahan Dr Mahathir sebagai ahli politik berpengalaman dan sebagai seorang perdana menteri.

Tetapi beliau menentang dasar-dasar lama Dr Mahathir yang cuba dikembalikan semula.

“Banyak kenyataannya tidak hanya bertentangan dengan konsensus dan manifesto PH tetapi juga merosakkan kredibiliti PH secara menyeluruh,” katanya.

Namun, beliau mempertahankan kritikannya terhadap Bersatu yang menerima bekas ahli-ahli UMNO.

“PPBM telah membenarkan ahli-ahli UMNO yang integriti mereka diragui lompat parti dengan melanggar konsensus PH untuk menghentikan amalan rasuah dan politik wang,” ujarnya.

Cheng Hau menambah, walaupun pernyataan Dr Mahathir bahawa manifesto PH bukan janji, dia telah memberi masa kepada Perdana Menteri melaksanakan janji-janji sebelum meminta beliau melepaskan jawatan. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kalau tak ada Mahathir jgn harap PH dapt mimpi jadi Kerajaan. Kini DAP dah rasa sedap jadi pemerintah. BOO perlu ingat pengaruh Mahathir melampaui Kit Siang dan Pemimpin2 DAP lain. Ini bererti dgn. perangai Dr BOO ini parti DAP akan terus dipinggirkan oleh org Melayu. Mahathir tahu bila nak ucap selamat jalan. Tak perlu manusia mcm BOO buat gesaan.

Comments are closed.