Kementerian kewangan
Bangunan Kementerian Kewangan. foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan (MOF) melahirkan rasa kesal dengan laporan media bahawa golongan orang kurang upaya (OKU) bujang, ibu bapa tunggal dan warga emas tidak menerima Bantuan Sara Hidup (BSH).

Kementerian Kewangan berkata, dakwaan tersebut sebenarnya tidak benar sama sekali, sebaliknya bantuan tersebut akan diteruskan.

Katanya, kerajaan ketika ini sedang dalam proses pendaftaran dan kemaskini maklumat BSH yang memberikan bantuan secara bersasar dengan mengutamakan keluarga.

“BSH2019 juga memberi kadar tambahan mengikut bilangan anak bawah tanggungan. Kadar tambahan BSH2019 sebanyak RM120 diberikan untuk setiap anak berumur 18 tahun ke bawah terhad kepada 4 orang anak dan bagi anak OKU yang tidak dihadkan umur.

“Dalam konteks ini, Kementerian Kewangan ingin menjelaskan bahawa ibubapa tunggal dengan tanggungan turut layak dan diberikan BSH pada tahun 2019. Bagi warga emas yang melebihi 60 tahun, mereka juga layak menerima BSH sama ada berstatus berkahwin atau bujang,” katanya dalam kenyataan.

Tambah MOF, sejak pengumumannya pada 20 Februari 2019, seramai 3 juta orang dalam kategori bujang akan menerima bayaran BSH sebanyak RM100 pada hujung bulan Mac 2019.

“Kita juga akan mengkaji kadar bantuan seterusnya bagi golongan ini dan keputusan akan dimuktamadkan oleh Kabinet kelak.

“Bagi golongan OKU pula, kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah membantu lebih daripada 140,000 OKU dengan bantuan Elaun Pekerja Cacat atau Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja.

“Oleh itu, individu yang dilaporkan telah menerima Elaun Pekerja Cacat sebanyak RM400 sebulan dan layak menerima bayaran BSH untuk Kategori Bujang sebanyak RM100,” jelas kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, kerajaan berikrar akan terus menyalurkan bantuan kepada golongan yang berkeperluan untuk meringankan beban kos sara hidup mereka berdasarkan kemampuan yang ada, sebagai sebahagian daripada tanggungjawab kepada rakyat.

Semalam, media melaporkan seorang lelaki OKU di Kuala Terengganu berasa terkilan sebaik mendapati dia tidak memenuhi kelayakan untuk memohon BSH 2019.

Ishak Awi, 59, dari Kampung Tanjung, Batu Rakit yang kudung kedua-dua belah kaki, pulang dengan rasa hampa sedangkan, sebelum ini dia berpeluang menikmati Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM450. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast