KUALA LUMPUR – Kementerian Luar mengesahkan pihak berkuasa Indonesia telah menahan 16 warga Malaysia di Palembang, Sumatra Selatan pada 9 Januari lalu kerana didakwa menyalahgunakan visa sosial.
Menurut wisma Putra, pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Medan telah mengadakan lawatan konsular sebanyak tiga kali iaitu pada 16 dan 21 Januari lalu serta 14 Februari 2019 bagi memastikan aspek-aspek kebajikan, keperluan asas dan kemudahan perubatan para tahanan terpelihara.
“Berikutan itu, Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin bin Abdullah telah mengutus surat kepada rakan sejawat beliau, iaitu ibu Retno L.P Marsudi pada 18 Februari 2019 meminta kerjasama kerajaan Indonesia untuk memberi perhatian kepada isu-isu kebajikan dan kesihatan para tahanan serta mempercepatkan proses perundangan bagi mereka yang terbabit,” katanya dalam kenyataan.
Sehubungan itu, menurut kenyataan itu, Konsul Jeneral Malaysia di Medan akan mengadakan satu lagi lawatan konsular dalam masa terdekat untuk mengadakan perbincangan dengan pihak Pendakwaraya dan Pengadilan Palembang bagi memudah dan mempercepatkan proses perundangan.
Katanya, Kementerian Luar sentiasa berusaha memastikan kebajikan warga Malaysia yang ditahan di luar negara sentiasa diberi keutamaan .
“Rakyat Malaysia adalah diingatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan imigresen negara yang mereka lawati dengan memohon visa yang bersesuaian dengan tujuan lawatan,” katanya.
Tambah kenyataan itu, kerajaan Malaysia sentiasa menghormati Indonesia dan tidak akan campur tangan dalam urusan perundangan tersebut dan menghargai segala kerjasama yang diberikan oleh negara itu dalam memudahkan urusan konsular kepada semua tahanan. – MalaysiaGazette