Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad bercakap kepada media pada Kongres Nasional Keadilan ke-13 di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 16 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dibidas kerana mendakwa wujudnya gerakan undi tidak percaya dalam Pakatan Harapan (PH) terhadap Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Ahli Majlis Pemimpin Pusat PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad menerusi Twitternya berkata, dalam masa yang sama Abdul Hadi tidak tahu tentang dakwaan parti itu pernah menerima wang daripada 1MDB namun mempunyai maklumat kononnya ada gerakan undi tidak percaya dalam kalangan PH kepada Mahathir.

“Bagus Hj @abdulhadiawang, bab undi tak percaya pada @chedetofficial ada maklumat, bab duit 1MDB @najibrazak tak tahu pula” katanya.

Nik NazmiUntuk rekod, undi tidak percaya dibangkitkan apabila Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan yang mendedahkan kononnya terdapat dua parti dalam PH gerakan membelot terhadap Mahathir.

Abdul Hadi juga sebelum itu memberi bayangan kurangnya penglibatan parti komponen gabungan itu membantu calon PH dalam kempen PRK DUN  Semenyih sebagai mengiakan wujudnya usaha menggulingkan Perdana Menteri.

Oleh kerana maklumat yang dimiliki Pas, Abdul Hadi berkata, Pas akan memberikan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri sekiranya undi tidak percaya berlaku.

Tambahnya lagi, walaupun Pas merupakan parti pembangkang namun sokongan itu demi meneruskan kepimpinan Islam dalam kerajaan.-MalaysiaGazette