Jacob George

KUALA LUMPUR – Spekulasi Unit transplan hati di Hospital Selayang akan ditutup oleh Kementerian Kesihatan semakin kuat diperkatakan dan Kementerian Kesihatan digesa memberi respons segera.

Speklulasi penutupan unit yang ditubuhkan pada tahun 2002 itu dikatakan meletus sejak tiga minggu lalu dan kini semakin hangat dikatakan dalam kalangan pegawai-pegawai perubatan di unit berkenaan.

Difahamkan, perkara itu sudah pun dirujuk kepada Kementerian Kesihatan namun, perkembangan terkini belum pasti kerana belum ada pengumuman rasmi.

Presiden Persatuan Pengguna Shah Alam dan Subang, Datuk Dr Jacob George berkata,  rakyat Malaysia berhak untuk tahu apa sebenarnya yang berlaku sehingga sehingga tercetusnya spekulasi mengenai penutupan unit transplan hati itu.

“Adakah benar ia akan berlaku? Kalau benar, mengapa penutupan itu dibenarkan. Adakah kerajaan ada alternatif lain yang lebih baik seperti mewujudkan pusat transplan hati yang lain atau apa.

“Kalau berita itu tidak benar, juga maklumkanlah memandangkan isu ini adalah perkara serius,” katanya yang terkejut apabila dimaklumkan tentang penutupan unit transplan hati itu tatkala Malaysia diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai negara yang menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik.

George berkata, jika khabar angin itu benar, ia merupakan berita sedih kepada rakyat Malaysia memandangkan unit berkenaan bukan sahaja menjadi harapan kepada pesakit-pesakit hati.

Tegasnya, bukan semua pesakit mampu mendapatkan rawatan di hospital swasta yang tinggi kosnya dan pembedahan di luar negara bukan pilihan yang ada terutama bagi golongan yang kurang berkemampuan.

Justeru jika khabar angin itu benar maka sesuatu perlu dilakukan.

“Kalaulah benar, CASSA mohon Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, yang merupakan seorang doktor campur tangan dan memberi pertimbangan yang serius,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, unit transplan hati di Hospital Selayang itu bukan calang-calang kerana ia juga menjadi rujukan pengamal-pengamal perubatan khususnya dari India dan Pakistan.

Ini jelas, kewujudan unit transplan hati itu bukan sahaja dimanfaatkan kepada rakyat Malaysia tetapi di peringkat serantau.

Malah, Indonesia dan Vietnam juga bakal menubuhkan unit itu.

Dalam pada itu, MalaysiaGazette difahamkan sejak ditubuhkan semasa Kementerian Kesihatan diterajui oleh Datuk Seri Chua Jui Meng bersama-sama bekas Ketua Pengarah, Tan Sri Ismail Merican dan pakar bedah, Dr Harjit Singh, unit berkenaan telah mengendalikan lebih 100 pembedahan hati.

Bahkan, Prof. Dr Russel W. Strong yang dikenali sebagai ‘Bapa Transplan Hati’ turut bersama-sama pasukan perintis untuk merealisasikan penubuhan unit itu. – MalaysiaGazette