KUALA LUMPUR – Lelaki warga emas yang ditahan kerana disyaki menghina Nabi Muhammad SAW menerusi akaun Facebook Foo Sing Wai telah dibebaskan dengan jaminan polis hari ini, kata Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Asmawati Ahmad.
Dalam satu kenyataan di sini beliau berkata, suspek yang berumur 68 tahun itu dibebaskan pada pukul 11 pagi.
Selasa lepas, Bernama melaporkan polis menahan seorang warga emas di sebuah taman perumahan di Mentakab, Temerloh, pada kira-kira pukul 11.30 pagi bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Sebelum ini, beberapa laporan polis dibuat terhadap seorang pemilik akaun Facebook menggunakan nama Foo Sing Wai yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda Saidatina Aisyah.
Perbuatan itu menimbulkan kemarahan umat Islam di seluruh negara kerana disifatkan amat keterlaluan dan melampau.
— BERNAMA
ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki hina Nabi Muhammad ditahan reman