Syed Saddiq
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak melepaskan peluang membuat balingan bola boling sebagai pembukaan pertadingan pada Pertandingan Boling Mesra Media Wanita Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (PERTAMA) 2019 di Bukit Jalil Golf (amp) Country Resort, Bukit Jalil, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 24 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mendedikasikan nama sebuah pusat skuasy khas buat Datuk Nicol David selepas persaraan beliau.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, langkah itu bagi menghargai jasa dan pengorbanan juara dunia lapan kali itu dalam sukan tersebut.

Menurutnya, bagi perancangan jangka panjang pula, biarlah Nicol sendiri yang mengumumkannya kelak.

“Saya sudah mengarah Majlis Sukan Negara (MSN) memberi bantuan penuh kepada Nicol dan bukan sekadar skim pencen.

“Ia melibatkan pusat skuasy khas buat beliau dan program jangka panjang lain akan diumumkan sendiri Nicol.

“Kerajaan merupakan merupakan penyokong tegar beliau,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pertandingan Boling Mesra Media Wanita Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (PERTAMA) di sini hari ini.

Syed Saddiq sebelum ini memberitahu Nicol berhak menerima lebih daripada pencen sebagai imbuhan terhadap sumbangannya mengharumkan nama negara.

Enggan mendedahkan jumlah pencen atau insentif lain yang bakal diterima Nicol, beliau berkata, MSN masih berbincang dengan bekas ratu skuasy negara tersebut termasuk sebarang bantuan dan rancangan yang mahu dilakukan Nicol.

Awal minggu lalu, ratu skuasy negara itu mengumumkan persaraan selepas 27 tahun berkecimpung dalam sukan itu.

Nicol yang mencecah 36 tahun pada Ogos ini akan menamatkan kariernya sebaik berakhirnya musim Jelajah PSA 2018 pada 19 Jun ini.

Nicol yang merupakan anak kelahiran Pulau Pinang bermain skuasy seawal lima tahun dan memulakan karier sebagai pemain pada 1992 apabila merangkul pingat perak dalam Kejohanan Remaja Pulau Pinang.

Beliau merangkul gelaran dunia pertama tujuh tahun kemudian pada Kejohanan Skuasy Remaja Dunia 1999 di Antwerp, Belgium ketika berusia 15 tahun.

Kejayaannya itu meletakkan dirinya sebagai juara remaja dunia wanita termuda dalam sejarah dan kemudiannya menjulang gelaran dunia pada 2005 sekali gus meletakkannya pada kedudukan pertama dunia buat kali pertama pada Januari 2006 ketika berusia 23 tahun dan rakyat Malaysia dan Asia pertama berada di kedudukan nombor satu dunia.

Selama 112 bulan berada pada kedudukan pertama dunia, Nicol yang dikenali dengan panggilan Duracell Bunny disebabkan kelincahan pemain berfizikal kecil itu bagaimanapun menghadapi kesukaran mengekalkan prestasi sejak kebelakangan ini. – MalaysiaGazette