Lee Lam Thye
Tan Sri Lee Lam Thye.. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 04 FEBRUARI 2019

MUAR – Rakyat Malaysia seharusnya menghentikan perkara yang boleh mencetus perpecahan antara kaum dan menjauhkan diri daripada mereka yang gemar membuat kenyataan provokatif atau melakukan sesuatu perbuatan yang boleh menimbulkan ketegangan dalam masyarakat.

Pemegang Amanah Yayasan Perpaduan Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, perpaduan adalah hadiah tidak ternilai yang perlu dipelihara dan dihargai oleh semua rakyat di negara berbilang kaum seperti Malaysia.

“Kita harus menumpukan kepada usaha mewujudkan lebih banyak ‘momen perpaduan’ untuk memupuk perpaduan dan kebersamaan dalam negara.

“Sebagai contoh, kita boleh menganjurkan aktiviti komuniti di mana masyarakat sekitar dijemput untuk mengambil bahagian dalam aktiviti seperti gotong-royong, program pencegahan jenayah, kempen antidadah atau hari kesedaran alam sekitar,” katanya berucap pada majlis makan malam sempena Tahun Baru Cina anjuran Persatuan Penduduk Taman Sri Maharani, di sini, malam tadi.

Lee berkata, rakyat Malaysia harus mencontohi komuniti di Taman Sri Maharani yang mampu melaksanakan program pencegahan jenayah dan perpaduan dengan baik.

Kawasan perumahan yang mempunyai 170 buah rumah itu dibuka pada 1972 dan lebih daripada 60 peratus penduduknya merupakan bekas pegawai kerajaan dan pesara.

“Apabila saya melawat kawasan kejiranan Taman Sri Maharani pada tahun 2017, saya amat kagum melihat Jalur Gemilang turut dikibarkan di setiap rumah semasa bulan kemerdekaan,” katanya.

Lee, yang juga Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), turut menggesa orang ramai supaya sentiasa mengambil berat tentang jiran mereka selain menjadi mata dan telinga pihak berkuasa bagi membantu mengekalkan tahap keselamatan di kawasan masing-masing.

Beliau berkata, ibu bapa juga harus menggalakkan anak-anak mereka melakukan perkara yang sama kerana ia dapat membantu mereka memainkan peranan dengan lebih baik sebagai rakyat yang bertanggungjawab.

Menurut Lee, adalah penting bagi penduduk di kawasan perumahan dan kampung untuk menjaga jiran mereka dengan memberikan perhatian dan membantu mereka apabila diperlukan.

“Menjaga emosi seseorang memerlukan kemahiran tertentu. Anda mungkin boleh menjadi pendengar yang baik terhadap cerita dan masalah mereka,” katanya dengan menambah bahawa usaha membentuk masyarakat penyayang perlu dilaksanakan tanpa bertangguh. – Bernama