KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kewangan diminta memberi penjelasan kepada mahasiswa berhubung pengurangan jumlah Bantuan Pelajar Pendidikan Tinggi (BPPT).
Setiausaha Agung Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Ahmad Fahmi Adzha Mohd Nasarudin berkata, di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini mereka menerima bantuan sebanyak RM250.
Bagaimanapun, katanya, di bawah kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH), bantuan itu dikurangkan kepada RM100.
“Kita mahu dua kementerian ini segera tampil dengan penuh tanggungjawab untuk memberikan penjelasan berkenaan kewajaran pengurangan bantuan itu.
“Berdasarkan kepada siaran media dari Kementerian Kewangan, setiap penuntut warga tempatan di institut pengajian tinggi (IPT) akan menerima bantuan RM100 pada hujung Mac ini,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Semalam, satu kenyataan dari Kementerian Kewangan menyatakan, kerajaan akan memberikan bantuan RM100 kepada setiap penuntut warganegara di IPT.
Kenyataan itu memberitahu, bantuan itu adalah berdasarkan cadangan Kementerian Pendidikan untuk mengurangkan beban kewangan pelajar di peringkat IPT.
MOF berkata, bantuan itu akan disalurkan pada hujung Mac ini menggunakan mekanisme sedia ada, iaitu kad debit Bank Rakyat, yang merupakan penambahbaikan daripada sistem baucar buku yang terdahulu.
Menurut Ahmad Fahmi Adzha, jumlah RM100 adalah lebih rendah jika dibandingkan dengan inisiatif bantuan pendidikan tinggi yang diagihkan kerajaan lama BN iaitu RM250.
Katanya, penjelasan itu perlu bagi memastikan mahasiswa tidak dimangsakan dalam dasar baharu kerajaan PH.
Beliau turut mencadangkan penggunaan Kad Debit i-Diskaun Siswa 1 Malaysia (KADS1M) dapat ditambah baik dan diperluaskan fungsinya terutama berkaitan penetapan kadar harga istimewa bagi mahasiswa ketika berbelanja.
“Termasuk memperkenalkan kadar dividen bagi semua pemegang Kad Siswa untuk membantu mahasiswa menabung.
“Kita juga mencadangkan Kad Siswa sedia ada boleh digunakan bagi tujuan mendapatkan diskaun untuk penggunaan di stesen minyak dan digunakan bagi tujuan pengangkutan terutama di musim perayaan,” katanya. – MalaysiaGazette