Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Datuk Aziz Mohammed bercakap kepada media berkenaan OPS Kesan PERKESO di Menara PERKESO, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 25 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPUR – Syarikat-syarikat kecil dikenal pasti sebagai majikan yang paling banyak tidak mendaftarkan pekerja dengan Perkeso.

Antaranya seperti pekerja kantin sekolah, pengawal keselamatan, penyelenggara.

Syarikat-syarikat itu mewakili purata 10 peratus majikan yang didapati gagal mendaftarkan pekerja dengan agensi itu.

Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, walaupun pekerja-pekerja itu bertaraf sementara atau kontrak ia perlu didaftarkan dengan Perkeso.

“Tidak timbul syarikat kecil atau pekerja sementara mahupun kontrak, ia mesti didaftarkan dengan Perkeso.

“Langkah itu bagi memastikan kebajikan pekerja-pekerja berkenaan terus dijaga,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan pelancaran tempoh pemutihan sebelum pelaksanaan Ops Kesan di sini hari ini .

Perkeso akan melancarkan tempoh pemutihan bagi memberi peluang kepada majikan-majikan mendaftarkan perusahaan dan pekerja sehingga 31 Mac ini.

Ini kerana, Perkeso akan memulakan Ops Kesan kali-11 mulai 1 April di seluruh pelosok negara.

Beliau memberitahu, dalam tempoh 2009 hingga 31 Disember 2018, sebanyak 19,253 notis kompaun telah dikeluarkan kepada majikan yang gagal mendaftarkan perusahaan dan pekerjanya.

Dalam pada itu, Mohammed Azman turut mengingatkan mana-mana pekerja asing yang sudah tamat perlindungan di bawah Skim Pampasan Pekerja perlu didaftar di Perkeso.

Skim Pampasan Pekerja itu akan tamat pada tahun ini dan digantikan dengan Skim Bencana Pekerjaaan Pekerja Asing yang telah berkuatkuasa pada tahun 2019.

“Pekerja asing yang masih dilindungi di bawah Skim Pampasan Pekerja tidak perlu mendaftar lagi,” katanya.

Katanya, setakat ini kira-kira 170,000 pekerja asing telah mendaftar dengan Perkeso berbanding 1.8 juta data yang diperoleh daripada Jabatan Imigeresen.

Ini bermakna terdapat kira-kira 1.64 juta lagi pekerja asing yang belum mendaftar.

“Jumlah yang mendaftar dengan Perkeso masih kecil kerana masih ada pekerja yang tertakluk di bawah Skim Pampasan Pekerja.

“Kita akan tahu jumlah sebenar pekerja asing selepas skim itu berakhir tahun ini,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast