Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran (kiri) semasa sesi dialog bersama ahli majlis FMM di Hotel Royale Chulan, Mutiara Damansara, Petaling Jaya. foto FAREEZ FADZIL, 26 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPUR – Pindaan Akta Kerja 1955 telah siap untuk dibentangkan di Parlimen pada Mac depan.

Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran berkata, kementerian akan meminda akta tersebut dalam usaha memperluaskan perlindungan dan hak seorang pekerja yang gaji di bawah RM2,000.

Jelas beliau, antara pindaan berkenaan ialah melibatkan waktu be­kerja kerana selepas kali terakhir dipinda pada tahun 2013.

“Laporan akhir daripada jawatankuasa bebas telah siap dan berharap dapat meneruskan pembentangan di Parlimen pada sesi akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang selepas mengadakan sesi dialog bersama  Persekutuan Pe­kilang-pekilang Malaysia (FMM) yang diketuai Presidennya,­ Datuk Soh Thian Lai hari ini.

Pada Ogos tahun lalu, Kula Segaran mengumumkan kementeriannya akan mengkaji semula Akta Kerja 1955 bagi memastikan ia sesuai dengan situasi pekerjaan ketika ini.

Katanya, lapan perkara baharu juga sedang dipertimbangkan untuk dimasukkan di bawah akta yang sama bagi memastikan ia lebih inklusif melindungi kepentingan semua pihak termasuk pekerja serta majikan

Kula Segara turut memberitahu, hanya satu kementerian akan diberi peranan untuk mengendalikan hal ehwal pekerja asing yang bekerja di negara ini pada masa akan datang.

Perbincangan mengenai perkara itu akan dibincangkan antara kementeriannya dengan Kementerian Dalam Negeri pada Khamis ini, katanya.

Menurut beliau, ketika ini hanya dua kementeriaan  dipertanggungjawabkan untuk menguruskan hal-hal berkaitan pekerja asing.

“Pada pertemuan itu juga kita akan membincangkan tentang sektor mana yang mengalami kekurangan pekerja asing dan bagaimana memperluaskan jumlahnya.

“Ini kerana menurut pihaknya sektor yang terjejas adalah pengilang apabila ramai pekerja telah kembali ke negara masing-masing namun sukar untuk mendapatkan pengganti.

“Begitu juga dengan isu pembantu rumah yang berdepan kekurangan pekerja dan kita perlu melihat untuk mengatasi masalah itu,” katanya. – MalaysiaGazette