gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Peralihan kutipan tol kepada caj kesesakan di empat lebuh raya yang bakal diambil alih oleh kerajaan akan memberi penjimatan sehingga RM180 juta setahun kepada pengguna.

Penjimatan itu bermakna pendapatan boleh guna isi rumah rakyat Malaysia akan bertambah dengan jumlah yang sama.

Menteri Kewangan berkata, kutipan caj kesesakan itu juga mencukupi untuk membiayai bayaran balik pinjaman kos pengambilalihan dan juga segala kos operasi serta penyenggaraan lebuh raya tanpa memerlukan peruntukan tambahan daripada Kementerian Kewangan.

Lim Guan Eng berkata, pengambilalihan lebuh raya ini pada harga yang adil dan berpatutan bagi pihak kerajaan akan menjimatkan pembayar cukai sebanyak RM5.3 bilion dalam bentuk pembayaran pampasan kepada syarikat-syarikat konsesi akibat pembekuan kadar tol di lebuh raya berkenaan sehingga akhir tempoh konsesi.

“Apabila pengambilalihan konsesi empat lebuh raya ini dimuktamadkan, kerajaan akan menghapuskan mekanisme kutipan tol sedia ada dan menggantikannya dengan model baharu ‘caj kesesakan’ iaitu caj boleh ubah yang bergantung kepada masa penggunaan.

“Ini akan menggalakkan pengguna lebuh raya untuk merancang perjalanan mereka pada waktu luar puncak dan mengurangkan kesesakan lalu lintas semasa waktu puncak.

“Dengan dasar baharu ini, pengguna lebuh raya pada waktu puncak juga akan menikmati pengurangan kesesakan lalu
lintas berbanding dengan situasi semasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, cadangan pengambilalihan lebuh raya ini adalah penyelesaian “win-win-win” untuk semua pihak yang terlibat iaitukerajaan dan pembayar cukai akan jimat RM5.3 bilion dalam bentuk pembayaran pampasan kepada syarikat-syarikat konsesi akibat pembekuan kadar tol.

Selain itu, pengguna lebuh raya akan menikmati penjimatan sehingga RM180 juta setahun dan juga pengurangan kesesakan lalu lintas pada waktu puncak dan sebarang lebihan kutipan caj kesesakan akan disalurkan kepada pembangunan dan penyenggaraan sistem pengangkutan awam Malaysia.

Guan Eng berkata, usaha pengambilan empat lebuh raya bertol ini akan mengambil masa selama enam bulan untuk memenuhi kesemua keperluan pengawalseliaan, kewangan dan undang-undang.

Sabtu lalu, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan kerajaan akan mengambil alih empat lebih raya milik Gamuda Berhad dan proses rundingan sedang dijalankan.

Empat lebuh raya yang terbabit ialah Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART (SMART).

Tanpa mengambil kira PLUS, keempat-lebuh raya ini menguasai 48 peratus daripada jumlah pendapatan lebuh raya-lebuh raya bertol di bandar. – MalaysiaGazette