national economy economist tax SST Kalau pun GST dihapuskan, besar kemungkinan rakyat negara ini akan dibebani dengan pelbagai kenaikan cukai lain bagi menampung pendapatan RM42 bilion yang diperoleh daripada GST. - Ramon Navaratnam taxation system
Tan Sri Ramon Navaratnam

KUALA LUMPUR – Pengambilalihan syarikat konsesi tol oleh kerajaan bukan satu-satunya mekanisme yang kerajaan ada untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Sebaliknya, banyak pendekatan lain yang lebih rasional boleh dilaksanakan tanpa membazir duit rakyat.

Antaranya ialah menggunakan lebihan keuntungan yang dijana oleh syarikat konsesi dengan memberi pengurangan caj kepada pengguna tersasar.

Pakar ekonomi negara, Tan Sri Ramon Navaratnam berkata, sebenarnya masalah tol kepada pengguna lebuh raya adalah kadarnya yang dikenakan tinggi.

Untuk menangani caj yang tinggi, pengguna lebuh raya khususnya golongan B40 dan M40  berharap kadarnya dikurangkan supaya ia tidak membebankan.

Beliau mencadangkan kerajaan duduk dan berbincang dengan syarikat-syarikat konsesi dan melihat sama ada firma-firma berkenaan telah merekodkan keuntungan yang berlebihan daripada unjuran yang ditetapkan.

Jika ia berlaku (keuntungan berlebihan), kerajaan boleh meminta agar peratusan tertentu daripada lebihan untung dijadikan subsidi kepada pengguna-pengguna tol.

Subdidi atau diskaun tol bukan untuk semua tetapi tersasar kepada penunggang motosikal dan pemilik kereta berdasarkan kapasiti kenderaan.

“Kerajaan mempunyai hak untuk membuat permintaan sedemikian…contohnya meminta supaya 5 peratus atau 10 peratus daripada lebihan keuntungan itu dipulangkan kepada pengguna yang tersasar.

“Tentukan kapasiti diskaun tol melalui kapasiti saiz dan jenis kenderaan. Dengan cara ini kerajaan boleh menangani beban sebenar pengguna tersasar. Kereta mewah, besar tidak perlu subsidi ini kerana mereka berkemampuan.

“Pendekatan ini lebih rasional berbanding mengeluarkan wang berjuta-juta untuk membeli syarikat konsesi, sedangkan wang tersebut boleh digunakan untuk membangunkan negara yang menjadi keperluan rakyat seperti membangunkan bandar, luar bandar, membina sekolah, jalan raya, TVET dan sebagainya.

“Kaedahnya sama seperti kalau kita mahu minum susu lembu, tidak perlu beli lembu, cukup sekadar beli susu sahaja,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Jelas beliau lagi, pengambilalihan syarikat-syarikat konsesi oleh kerajaan pula akan hanya membebankan kos kerajaan kerana perlu menanggung pekerja, operasi dan sebagainya.

Perkara-perkara ini tidak selari dengan usaha kerajaan untuk mengurangkan jumlah pekerja awam.

“Lihatlah isu tol ini daripada perspektif yang lebih besar berbanding semata-mata untuk menggembirakan hati pengguna lebuh raya.

“Tidak salah kerajaan mahu menggembirakan rakyat tetapi perlu pastikan matlamat itu pada akhirnya tidak membebankan mana-mana pihak,” ujar Navaratnam. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN: