Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Supt Mohd Sabri Bin Abdullah. foto SYAFIQ AMBAK, 26 FEBRUARI 2019

SEMENYIH – Seramai 676 orang atau 78 peratus daripada 858 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah keluar mengundi awal bermula 9 pagi hingga 5 petang menjelang Pilihan Raya Kecil DUN Semenyih.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Mohd. Sabri Abdullah berkata, proses undi awal itu berjalan lancar di dua pusat daerah mengundi yang dibuka Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) iaitu pasukan Gerakan Am Batalion 4 Semenyih dan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Kajang.

“Proses undi awal hari ini berjalan lancar tanpa masalah. Di IPD Kajang 94.85 peratus sahaja keluar undi awal dan lima orang tak hadir.

“Apabila disemak, seorang telah ke Sabah atas kecemasan anak sakit manakala tiga orang lagi ditukar tempat tugas manakala seorang lagi tamat perkhidmatan tetapi tak dapat dihubungi,” katanya dalam sidang media petang tadi.

Mohd. Sabri berkata, sejak kempen bermula 16 Februari lalu, sehingga kini sebanyak 228 permit ceramah telah dikeluarkan polis untuk parti politik dan calon bertanding.

“Mengikut pecahan permit Pakatan Harapan diluluskan 115 permit ceramah diikuti Barisan Nasional (97 permit), Parti Sosialis Malaysia (14 permit) dan bebas dua permit setakat hari ini.

“Setakat ini, tiada insiden atau masalah daripada kempen calon dan penyokong mereka dan keselamatan terkawal,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, sebanyak 30 laporan polis dan kertas siasatan masih kekal sekadar lapan termasuk kes fitnah dan khianat.

“Pada Ahad lalu ceramah DAP dan MCA yang secara kebetulan berlaku di tempat medan selera sama dihentikan mengelak kekacauan selepas salah sebuah parti tidak ada permit untuk berceramah.

“Dengan berbaki empat hari berkempen lagi saya menasihatkan orang ramai iaitu penyokonng serta parti politik terus berceramah dan berkempen secara berhemah dan tidak melanggar undang undang dan peraturan pilihan raya dan polis,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette